Ramkarpal Singh hadir pada perbicaraan dan keputusan permohonan jaminan kes individu dikaitkan dengan LTTE Saminathan A/l Ganesan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 29 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan untuk menolak permohonan ikat jamin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), G Saminathan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Saminathan yang juga merupakan pemimpin DAP serta Exco Negeri Melaka itu ditahan tahun lalu kerana terbabit dalam memberi sokongan kepada kumpulan LTTE yang berpangkalan di Sri Lanka.

Hakim Datuk Ahmad Shahriri Mohd Salleh ketika membacakan keputusan memutuskan permohonan ikat jamin itu ditolak selepas mendengar hujah daripada pihak pendakwaan serta pembelaan.

Kata Ahmad Shahrir, LTTE masih lagi dikategorikan serta digazetkan sebagai sebuah organisasi pengganas yang masih lagi aktif malah Kementerian Dalam Negeri (KDN) belum mengeluarkan kumpulan itu daripada kategori terbabit.

“Walaupun pada November tahun lepas Mahkamah Tinggi telah mengisytiharkan Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak berperlembagaan namun permohonan ikat jamin ini ditolak atas sebab keseriusan hukuman atas kesalahan ini.

“Saya sedia maklum bahawa LTTE ini sudah tidak berfungsi lagi namun ianya masih digazetkan sebagai sebuah kumpulan pengganas aktif setakat ini, ianya belum dikeluarkan dari senarai oleh Kementerian.

“Permohonan bagi ikat jamin kes ini ditolak oleh mahkamah setelah mengambil kira hujah kedua-dua belah pihak dengan sebaiknya,” katanya.

Saminathan boleh dihukum di bawah peruntukan sama yang jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang diguna atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Pada 20 Jan lepas Saminathan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki item dan memberi sokongan berkaitan kumpulan pengganas LTTE selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh.

Dia dituduh memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights, Melaka pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G. Saminathan (kiri) bersama dua yang lain diiring anggota polis ketika hadir ke Mahkamah Sesyen atas dakwaan baharu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Kompleks Mahkamah Duta Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 31 OKTOBER 2019

Beliau juga dituduh memiliki item berkaitan kumpulan pengganas itu di dalam sebuah telefon bimbit di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri, di Melaka, pada 10.25 pagi, 10 Okt 2019.

Kata Ahmad Shahrir, mahkamah juga menolak hujah permohon yang mendakwa keadaan kesihatan tertuduh tidak begitu memuaskan.

“Sebenarnya keadaan kesihatan tertuduh tidak sehingga membahayakan nyawa sebaliknya masih boleh mendapat rawatan sewajarnya di Penjara Sungai Buloh tanpa sebarang masalah,” ujarnya.

Saminathan diwakili peguam yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh sementara Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Firdaus Abu Hanipah dan Rohaiza Abd Rahman mewakili pihak pendakwaan. 

Hakim kemudian memutuskan 11 Februari depan untuk pengurusan kes bagi memutuskan tarikh bagi perbicaraan kes ini kelak. -MalaysiaGazette

5 Komen

  1. Kalaulah semua hakim berpendirian sebergini, InsyaAllah Malaysia akan aman!

    Cuma sekarang ni ramai orang awam yang takut untuk berada diatas jalanraya sebab difahamkan ramai pemandu2 mabuk! Mereka melangar orang awam sesuka hati sehingga mati.

    Harap hakim2 juga bertegas dalam perkara ini!

  2. A German court sentenced a 34-year-old man to five months in jail for giving the illegal Nazi salute!

    Salute kepada lambang swastika juga boleh kena jel. Hebat hakim2 Jerman menjaga keselamatan negara mereka dari unsur2 pengganas!

  3. Bgus, kputusan hakim adalh tepat n baik utk kemakmuran rkyat…harap dpt hukuman yg setimpal dgn kjahatan yg dia lakukan..lg satu dia sudah khianati rakyat yg pilih dia..n hrap ktua mnteri mlaka pcat drpd jwatan exco..

Comments are closed.