Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hadir pada Malam Gala Pementasan Teater Muzikal "Semarak Pertiwiku" anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 31 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melihat pementasan teater adalah medium terbaik sebagai sebahagian usaha membimbing masyarakat untuk membenci salah laku rasuah.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, ini kerana menerusi teater, mesej dan kandungan yang akan disampaikan mampu disampaikan secara terus kepada penonton.

“Kami berpuas hati dengan penganjuran teater. Sudah pasti kami akan mementaskannya lagi pada masa akan datang cuma mencari waktu yang sesuai.

“Bagi SPRM, medium seni merupakan sebahagian usaha untuk menerap mesej antirasuah kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pementasan teater muzikal Semarak Pertiwiku di Istana Budaya di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya; Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah ( GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Pementasan teater muzikal Semarak Pertiwiku anjuran SPRM mendapat sambutan menggalakkan apabila disaksikan lebih 3,000 hadirin sepanjang dua hari dipentaskan.

Teater itu pernah dipentaskan di Kuching, Sarawak pada Julai tahun lalu dan dipentaskan semula bermula semalam untuk tiga pementasan dalam dialek Melayu Sarawak.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Istana Budaya serta Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Kelainan pada pementasan ini ditonjolkan menerusi penampilan aktor popular, Ungku Ismail, Anas Ridzuan dan Elya selain mengekalkn pelakon asal iaitu Sherie Merlis, Anding Indrawani, Chopie Chakap, Shah Kimin dan Taufik Hanafi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast