Topeng penutup mulut dan hidung digunakan bagi mencegah jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV). Foto tinjauan MalaysiaGazette di sekitar Hospital Kuala Lumpur. -- SYAFIQ AMBAK, 27 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) menggesa semua syarikat-syarikat yang menganggotai persatuan itu menyediakan perlindungan hospital kepada pemegang polisi yang dijangkiti novel coronavirus (2019-nCoV).

Presidennya, Loh Guat Lan dalam satu kenyataan berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini telah mengisytiharkan wabak 2019-nCoV sebagai darurat kesihatan global.

“Walaupun kebanyakan daripada perlindungan polisi kesihatan tidak merangkumi penyakit berjangkit yang memerlukan kurantin oleh undang-undang, syarikat insurans di Malaysia telah memberi maklum balas segera dengan mengeluarkan syarat tersebut susulan peningkatan angka pesakit yang telah dijangkiti virus berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Guat Lan menasihati pemegang polisi untuk berhubung dengan syarikat insurans masing-masing bagi manfaat tersebut serta terma dan syarat bagi polisi-polisi insurans mereka.

Katanya syarikat-syarikat yang menganggotai LIAM boleh disemak menerusi laman web www.liam.org.my.- Agensi