Mohd Amar Abdullah

KUALA LUMPUR – Pas menjangkakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan membubarkan Kabinetnya pada Mei tahun depan

Menurut Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, ia berdasarkan kepada perkembangan politik semasa dan rekod Dr Mahathir yang akan berbuat demikian dalam tempoh tahun ketiga pentadbirannya.

“Dari segi bacaan politik kita, dan maklumat yang sampai, kita yakin Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 akan berlangsung tahun depan.

“Dr Mahathir sedang menunggu cukup tiga tahun sahaja. Tahun depan bulan Mei cukup tiga tahun, Parlimen tidak boleh bubar sebelum cukup tiga tahun.

“Bila cukup tempoh tiga tahun, dia akan bubar Parlimen dan itulah peluang Pas-UMNO untuk menang (PRU15). Kenapa dia nak bubarkan Parlimen, itu kita cerita kemudian,” katanya dalam ceramah perdana Muafakat Nasional Wilayah Persekutuan, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Pas dan UMNO sebelum ini memeterai perjanjian dalam Muafakat Nasional untuk menjalinkan taawun bagi menghadapi PRU15 kelak.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu juga berkata Dr Mahathir mempunyai alasan yang besar untuk berbuat demikian namun enggan mendedahkannya kepada umum.

“Dalam tempoh 23 tahun jadi Perdana Menteri, dia tidak pernah tunggu sehingga lebih daripada empat tahun. Masuk tiga tahun dia akan bubar Parlimen.

“Dia ada alasan yang besar untuk membubarkan Parlimen tahun depan, cuma bukan tempat dia untuk saya cerita,” katanya lagi.

Pas menerusi presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan sokongan kepada cadangan untuk Dr Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri, selama lima tahun.

Sebelum ini, terdapat laporan dan gambar pertemuan antara Dr Mahathir dan Abdul Hadi disiarkan media tempatan yang mendakwa akan berlaku kerjasama politik antara kedua-dua mereka.

Malah Dr Mahathir turut mengakui ada ketika beliau memerlukan sokongan daripada Pas membabitkan utusan rang undang-undang tertentu. -MalaysiaGazette