Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (tengah) ketika hadir ke mahkamah atas pertuduhan berhubung Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 25 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang berhadapan dengan tuduhan rasuah bernilai ratusan juta ringgit akan bermula esok di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan.

Untuk rekod, ia merupakan perbicaraan pertama dihadapi oleh Rosmah dan dijangka akan berlangsung sehingga bulan April kelak.

Beliau diwakili oleh Datuk K Kumarendran sebagai ketua pasukan pembelaan.

Manakala bekas Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Seri Ram pula akan mengetuai pasukan pendakwaan.

Buat kali dalam sejarah juga, esok umum akan menyaksikan dua perbicaraan penting iaitu prosiding perbicaraan Rosmah pada sebelah petang manakala sebelah paginya, prosiding Najib akan meneruskan kes pembelaan SRC International membabitkan penyewelengan bernilai RM42 juta.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor bersalaman dengan para penyokong yang hadir selepas menandatangani dokumen pembayaran ikat jamin sebanyak RM500,000 terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 09 JULAI 2018

Rosmah dikaitkan dengan pertuduhan telah meminta suapan sebanyak RM187.5 juta dan dua lagi tuduhan menerima RM6.5 juta bagi projek membekalkan elektrik kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Seramai 25 saksi pendakwaan dijangka akan dipanggil bagi perbicaraan ini sejurus selepas Gopal Sri Ram membacakan kenyataan pembukaan esok.

Walaupun pada mulanya, Rosmah sepatutnya dibicarakan dengan bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor yang menghadapi empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah berhubung projek itu.

Bagaimanapun pada 8 Januari lepas, mahkamah melepas dan membebaskan Rizal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik semua pertuduhan terhadapnya.

Bekas pegawai khas Datin Seri Rosmah Mansor, Datuk Rizal Mansor

Untuk kali pertama, wanita itu didakwa berkaitan kes itu pada November 2018 dengan pendakwaan mendakwa wang itu adalah suapan bagi syarikat itu untuk mendapatkan projek,melalui rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid itu bagi untuk memasang sistem hibrid solar dan penyelenggaraan serta operasi penjana diesel.

Nilai projek itu dianggarkan bernilai RM1.25 bilion dengan RM187.5 juta mewakili 15 peratus daripada jumlah tersebut.

Rosmah dituduh menerima wang itu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall di Jalan Putra, Kuala Lumpur antara Mac dan April 2016.

Selain itu, beliau dituduh menerima RM1.5 juta dan RM5 juta lagi di Kediaman Seri Perdana Persiaran Seri Perdana Presint 10, Putrajaya, pada 20 Disember 2016 dan Jalan Langgak Duta, Taman Duta, pada 7 September 2018.

Rosmah akan berhadapan dengan denda lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana paling tinggi dan hukuman penjara sehingga 20 tahun seandainya sabit kesalahan dibawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sejurus selepas perbicaraan pada 30 April kelak, Rosmah akan berhadapan pula dengan satu lagi kes iaitu 12 pertuduhan untuk pengubahan wang haram melibatkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Kes ini ditetapkan untuk perbicaraan pada 11 Mei ini. –MalaysiaGazette