Aktiviti penanaman pokok hutan pelbagai jenis di sekitar kawasan anak bukit Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Melaka.

BERBEKALKAN semangat cintakan alam semula jadi maka sekumpulan mahasiswa dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah menjayakan program “Menyemai Bakti Tanggungjawab Bersama” di Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Melaka, baru-baru ini.

Program ini merupakan anjuran Kelab Persatuan Pelajar FTKMP (chaMPion) yang disertai seramai 40 pelajar ahli chaMPion dan 40 pelajar sukarelawan serta pensyarah-pensyarah dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, FTKMP, UTeM.

Pengarah Program, Muhammad Hairy Muhdar berkata, program ini telah dibahagikan kepada 3 aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Jelas beliau, kumpulan pertama yang melakukan aktiviti penanaman sebanyak 50 pokok hutan pelbagai jenis di sekitar kawasan anak bukit Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, Melaka.

Kumpulan kedua pula melakukan aktiviti pembersihan di kawasan
paya bakau manakala kumpulan ketiga pula melakukan pembersihan di laluan kawasan hutan rekreasi Tanjung Tuan dengan mengutip sampah sarap yang ditinggalkan oleh
orang awam.

Beliau mengharapkan agar apa yang telah dilaksanakan ini
memberikan impak positif dan kesan jangka panjang kepada peringkat generasi akan datang.

Program ini turut dijayakan bersama dengan beberapa kumpulan lain dari UTeM, antaranya adalah Kelab Persatuan Staf FTKMP (KARISMA), Kelab Persatuan Alumni UTeM (AUTeM), Kelab Persatuan Pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FAMESA) dan Kelab Persatuan Pelajar FPTT (TeMAN).

Turut mendapat kerjasama hebat daripada pihak Perhilitan dan Jabatan Perhutanan Melaka yang mengalu-alukan organisasi lain dan pihak orang ramai turut melaksanakan program
seumpama ini.

Pada masa yang sama turut memupuk kesedaran kepada semua lapisan masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar khususnya di tempat-tempat awam di daerah ini. – MalaysiaGazette