Anuar Ahmad

TELAH banyak kali kita membaca atau mendengar pandangan bahawa kurikulum persekolahan negara kita cukup padat dan melelahkan guru dan pelajar, tapi tidak nampak impaknya kepada ‘kemenjadian’ pelajar. Ada yang kata, banyak belajar tapi hasilnya tidak jelas.

Ada betul dan salahnya pandangan tersebut.

Betul, ada mata pelajaran yang padat dan berat sekali kandungan kurikulumnya. Ambil kurikulum sejarah sebagai contoh. Sejak menjadi panel penyemak kurikulum sejarah pada tahun 2006, saya akui kandungan kurikulum sejarah di negara ini memang banyak dan padat. Itu pun telah banyak dikemaskinikan secara berperingkat peringkat untuk mengurangkan beban kandungan mata pelajaran sejarah.

Salah, kalau dikatakan semua mata pelajaran berat. Ada mata pelajaran yang sesuai dan boleh terus dilaksanakan. Pada saya, sukatan Kurikulum Pendidikan Bahasa Melayu mempunyai kualiti yang baik. Cuma kaedah mengajar mungkin pelbagai. Ada pengajaran guru yang berkesan dan tentu juga ada yang tidak.

Tetapi satu perkara yang pasti, sistem pendidikan negara ini mempunyai kekangan dalam melakukan perubahan kurikulum. Apa lagi jika mahu menghapuskan kurikulum yang lama untuk digantikan dengan yang baru.

Contohnya, pengubalan kurikulum berkaitan kemahiran ‘coding’ mengambil masa yang lama sebelum dilaksanakan.

Mengapa?

Sebab birokrasi perubahan kurikulum negara ini sangat tinggi. Lepas satu peringkat, akan pergi pula ke satu peringkat yang lebih tinggi. Kemudian naik lagi ke peringkat yang lebih lagi tinggi.

Sebab itu kualiti kurikulum pendidikan kita sukar ditingkatkan dengan segera. Perlu lalui banyak ‘pagar-pagar’ birokrasi.

Ambil satu contoh.

Ilmu ekonomi sangat relevan untuk masa depan pelajar. Mereka akan membesar dan berada dalam ruang kegiatan ekonomi. Malah ada pelajar sejak di sekolah lagi sudah terlibat dengan kegiatan ekonomi. Ada yang membantu perniagaan keluarga. Ada yang bekerja separuh masa. Atau bekerja dibayar upah harian. Semua ini memerlukan pelajar menguasai ilmu ekonomi.

Soalnya, apakah ilmu ekonomi yang pelajar dapat dari sekolah?

Adakah pelajar belajar tentang institusi ekonomi negara, visi pembangunan ekonomi kerajaan, konsep percukaian, pembankan, organisasi syarikat, keusahawanan, saham, kewangan, hutang dan faedah, sistem mata wang dan sebagainya? Setahu saya tidak ada.

Di mana pelajar dapat belajar tentang konsep penjanaan kekayaan, kemiskinan, ketaksamaan dan jurang ekonomi dan konsep pendapatan? Setahu saya tidak ada di sekolah.

Di mana pula pelajar berpeluang belajar tentang data-data terkini kebolehpasaran, pasaran kewangan atau konsep dagangan? Juga tidak ada di sekolah.

Di mana pula pelajar berpeluang belajar penunjuk utama ekonomi negara seperti GDP, Indeks Harga Pengguna, indeks Penilaian Hartanah dan prestasi Kewangan? Pasti tidak ada di sekolah.

Mengapa semua ini tidak ada dalam kurikulum di sekolah?

Apakah kerana ilmu ekonomi tidak penting? Atau tidak ada cara untuk dipermudahkan cara penyampaian supaya ilmu ekonomi relevan dengan kemampuan pelajar sekolah?

Ilmu ekonomi sangat penting dan relevan untuk anak-anak. Malangnya ilmu yang sepenting ini dipinggirkan. Alasannya, ramai berpandangan ilmu ekonomi adalah ilmu yang sukar dan belum menjadi keperluan pada pelajar.

KPM harus sedar akan realiti masa depan. Ilmu ekonomi adalah ilmu yang sangat penting dan relevan. Lakukan sesuatu atau anak-anak kita akan terus ketinggalan di masa depan.

— ANUAR AHMAD Pensyarah Sosiologi Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast