Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Amanat dan Aspirasi bersama warga Kementerian Pendidikan Malaysiadi Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 06 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Keputusan Kabinet mengenai pelaksaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diketahui dalam masa terdekat kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, Perdana Menteri yang kesal kerana cadangan yang sepatutnya dikongsi dengan pegawai Kementerian Pendidikan itu telah bocor berkata, setakat ini isu PPSMI belum dibawa dan dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet.

“Saya dapati bahawa ada disiar bahawa kerajaan tentukan Sains dan Matematik diajar dalam BI (Bahasa Inggeris). Sebenanrnya belum buat keputusan. Apa yang berlaku sebenarnya adalah saya hanya memberi penerangan sahaja dalam kementerian.

“Entah macam mana terbocor dan dilaporkan seolah kerajaan telah memutuskan ini (PPSMI), kerana masih menimbang (cadangan PPSMI) ada kalanya kerajaan bersetuju, kalau setuju, pelajaran Sains, Math (matematik) dalam BI nanti kita teruskan perlaksanaan.

“Tetapi kalau ada tentangan kita akan tangguhkan pelaksanaan dan membuat keputusan nanti. Kita buat keputusan mengikut sokongan majoriti anggota Kabinet,” katanya.

Beliau yang merupakan Pemangku Menteri Pendidikan menyatakan demikian pada sidang kedia selepas majlis Amanat dan Aspirasi Perdana Menteri merangkap Pemangku Menteri Pendidikan kepada Warga Kementerian Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Mohd Gazali Abas.

Mengulas lanjut mengenai PPSMI ke Kabinet, Tun berkata satu jawatankuasa kecil telah ditubuhkan untuk membincangkan isu yang timbul selain mendapatkan pandangan serta input daripada orang ramai.

Ditanya sama ada PPSMI berkenaan akan diperkenalkan semula atau dijenamakan sebagai PPSMI versi 2.0, katanya mereka boleh memilih untuk menggunakan sama ada Bahasa Melayu atau Inggeris namun memandangkan terdapat istilah bahari diperkenalkan setiap hari maka ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut.

Diminta mengulas mengenai kenyatan Dong Jiao Zong yang turut tidak bersetuju pelaksanaan PPSMI, Dr Mahathir berkata, penggunaan bahasa ibunda  tidak dapat menimba sepenuhnya ilmu Sains itu kerana subjek tersebut bukan statik seperti Sejarah dan Geografi.

“Sains mempengaruhi industri kita yang mana pada mulanya kita buat kerja tangan sebelum produk padanan, diikuti mekanikal dan automasi serta robot dan kini sedang berjalan dalam dunia pendigitalan yang jelas menampakkan tiada sempadan untuk ilmu sains dan kita akan ketinggalan jika tidak mengikuti arus perkembangan sains.

Sementara itu, Dr Mahathir memberitahu, Kementerian Pendidikan mahu memperkenalkan cara baharu pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dengan melibatkan guru dan murid.

Katanya, pertikaian orang ramai mengenai dasar pelajaran sejak akhir-akhir ini membuka peluang untuknya menggambarkan sebahagian dasar pelajaran yang sedang dirangka dan akan diperkenalkan dalam masa terdekat.

Menurut Dr. Mahathir, pendidikan dahulu hanya banyak bergantung kepada kebolehan guru dalam bilik darjah dan ia menguntungkan murid jika berkesan tetapi ketika ini pihaknya mendapati guru kurang cekal dan pelajar menjadi mangsa.

“Maka kali ini kita nak perkenalkan cara baharu belajar, yang mana pakar-pakar luar negara akan sediakan subjek pengajaran dan rakamkan dalam ‘thumb drive’ (pemacu kilat) dan ditayangkan dalam bilik darjah berkenaan subjek yang nak sampaikan.

“Manakala guru darjah kelas itu akan mengajar mengikut video yang disediakan oleh pakar akademik luar negara dan ia akan memanfaatkan semua penuntut murid sekolah. Kalau balik cara lama, umpama tak semua guru bahasa Inggeris yang fasih berbahasa Inggeris.

“Saya juga tahu kini terdapat banyak rakaman pita dalam pengajaran pelbagai bahasa dan sesiapa sahaja boleh belajar bahasa dengan pita video berkenaan mengikut satu standard yang tetap dan demikian juga pelajari mata pelajaran lain terutama bidang Sains dan Matematik dengan kaedah berkenaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette