Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin ketikahadir pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2019 dan Jasamu Dikenang 2019 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di Hotel Everly, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 06 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin PKR yang bermesyuarat pada Rabu telah memutuskan untuk memanggil Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin  memberi keterangan mengenai isu pelanggaran peraturan parti.

Sinchew Daily melaporkan, lembaga disiplin turut menetapkan beberapa tarikh yang boleh dipilih Zuraida untuk hadir dan memberi penjelasan.

“Jika Zuraida tidak hadir, maka lembaga disiplin akan membuat keputusan berdasarkan surat penjelasan daripadanya,” kata sumber.

Difahamkan, surat penjelasan Zuraida sepanjang lapan muka surat adalah bernada “keras” .

Zuraida dalam surat itu menegaskan kenyataannya sebagai benar dan tidak akan meminta maaf, atau menarik balik kenyataan yang menjadi isu.

Zuraida yang juga Naib Presiden PKR dilanda kontroversi selepas memberitahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim cuba menyakinkan beliau bahawa seorang lagi menteri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan pelaku dalam sebuah video seks yang tular.

Menurut seorang ahli Lembaga Disiplin PKR, kes Zuraida masih dalam peringkat siasatan.

Walau bagaimanapun, keputusan terhadap Zuraida dijangka dibuat selepas dibincangkan dalam mesyuarat seterusnya, tetapi tarikhnya belum ditetapkan. – MalaysiaGazette