Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lima projek pengeluaran dan perkhidmatan bernilai RM4.6 bilion telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kebangsaan Pelaburan (NCI) yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng setakat 30 Januari lalu.

Darell dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, kesemua pelaburan yang telah diluluskan itu adalah projek yang melibatkan industri elektrik dan elektronik; jentera dan peralatan; serta automotif.

Projek-projek berkenaan dijangka membuka lebih 6,000 peluang pekerjaan di negara ini apabila dilaksanakan kelak.

Katanya, kebanyakan pelaburan atau kira-kira 97.3 peratus daripada keseluruhan pelaburan berkenaan adalah dari luar negara iaitu Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat.

Bakinya adalah pelaburan tempatan iaitu dari syarikat Malaysian Integrated Circuit (IC) Design.

Ia merupakan projek yang mempunyai nilai tambah yang tinggi melibatkan rekaan IC bagi produk-produk litar bersepadu aplikasi khas untuk kepintaran buatan (AI) dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

“Pelabur-pelabur asing kekal aktif dalam sektor pengeluaran dan perkhidmatan di Malaysia.

“Perbelanjaan pelaburan, penggunaan swasta dan perdagangan akan memastikan pertumbuhan negara berada di landasannya.

“Bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, MITI dan agensi-agensi di bawahnya akan terus proaktif untuk menyediakan keperluan para pemegang taruh dalam mencipta kemakmuran untuk rakyat,” katanya.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan mengumumkan prestasi pelaburan sektor pengilangan, perkhimatan dan utama bagi keseluruhan tahun 2019 pada 3 Mac ini.- MalaysiaGazette