Menteri Pengakutan Malaysia, Loke Siew Fook (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail (dua kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid (dua kanan) menyempurnakan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor di Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) di Puspakom Wangsa Maju, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 07 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Puspakom Sdn. Bhd. (Puspakom) telah dilantik sebagai Ejen Pemungut Hasil Kerajaan dalam mengendalikan urusan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) di 54 pusat pemeriksaan syarikat itu secara berperingkat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu akan bermula dengan LKM untuk kenderaan perdagangan ringan (BDM) seberat 7,500 kilogram dan ke bawah dan akan diperluaskan kepada kenderaan lain dari masa ke semasa.

Jelas beliau, dengan pelantikan itu, bilangan kaunter LKM yang tersedia akan berpotensi untuk ditambah bagi kemudahan orang awam memperbaharui lesen tersebut.

“Ini adalah satu pendekatan Kerajaan untuk memudahkan orang awam dalam segala urusan berkaitan perkhidmatan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Perkhidmatan tambahan yang tersedia di Puspakom ini akan memudahkan lagi para pemilik dan pengendali kenderaan dalam urusan pembaharuan LKM kerana mereka mempunyai lebih banyak akses.

“Dengan kata lain, para pelanggan mempunyai lebih pilihan lokasi untuk menguruskan permohonan pembaharuan LKM kenderaan perdagangan sama ada di JPJ atau Puspakom,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran perkhidmatan pembaharuan LKM di Puspakom Wangsa Maju yang menjadi cawangan pertama menawarkan perkhidmatan itu.

Mengulas lanjut, Anthony menambah, pada masa akan datang, perkhidmatan-perkhidmatan lain yang ditawarkan oleh JPJ juga berpotensi untuk diwujudkan di Puspakom bergantung kepada kelulusan dan dasar semasa Kerajaan.

Menurut beliau, ia bertujuan untuk memberi pilihan kepada pelanggan dan memudahkan mereka untuk menguruskan hal ehwal berkenaan pelesenan kenderaan di bawah satu bumbung di Puspakom sebagai One-stop Centre.

“Pelaksanaan ini selaras dengan usaha Puspakom yang sentiasa mengutamakan keperluan pelanggan dan ke arah untuk merealisasikan konsep syarikat untuk menjadi sebuah pusat perkhidmatan setempat One-Stop-Centre yang membolehkan pelanggan dan orang awam membuat urusan berkaitan kenderaan termasuk pembaharuan LKM.

“Selain daripada pemeriksaan kenderaan, Puspakom juga menawarkan perkhidmatan pembaharuan insurans sejak 2018.

“Konsep One-stop-Centre ini sememangnya memudahkan orang ramai dalam urusan berkaitan pemilikan kenderaan.

“Dari pemeriksaan kenderaan, pembaharuan insurans hingga pembaharuan LKM, semua urusan ini boleh diselesaikan di Puspakom,”katanya.

Anthony menambah menerusi konsep semua di bawah satu bumbung, Puspakom akan menjadi pusat perkhidmatan setempat yang merangkumi perkhidmatan pembaharuan LKM dan insurans motor selain pemeriksaan kenderaan yang akan menjimatkan masa dan tenaga pelanggan.

“Secara tidak langsung, perkhidmatan yang ditawarkan oleh Puspakom dapat memberikan satu pengalaman yang menyeluruh kepada orang ramai khususnya pelanggan dalam menjalani urusan berkaitan perkhidmatan Kerajaan terutamanya dalam urusan berkaitan pembaharuan LKM dan pemeriksaan kenderaan di Puspakom,” katanya. – MalaysiaGazette