KUALA LUMPUR – Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan untuk memastikan penjawat awam berada dalam keadaan selamat sehingga selesai menjalankan tugas.

Presidennya, Adnan Mat berkata demikian selepas insiden rumah seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kampung Perupok, Pasir Mas, Kelantan terbakar akibat dibaling bom botol oleh individu tidak dikenali dipercayai angkara khianat, awal pagi ini.

Katanya, Cuepacs kesal dengan kejadian yang tidak sepatutnya berlaku itu, apatah lagi apabila anggota perkhidmatan awam menjalankan tanggungjawab berlandaskan undang-undang.

“Sebagai sebuah negara demokrasi yang makmur lagi harmoni ini, sepatutnya insiden sebegini tidak wajar berlaku sama sekali. Anggota perkhidmatan awam hanya menjalankan tanggungjawab terhadap undang-undang yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Masyarakat perlu peka dan sedar bahawa anggota perkhidmatan awam bukan saja bertindak secara membuta tuli.

“Namun, setiap perkara yang dilakukan oleh anggota perkhidmatan awam adalah mengikut Standard operating procedure (SOP) yang telah ditetapkan dan wajib dipatuhi bukan sewenang-wenangnya dilakukan oleh anggota perkhidmatan awam.

“Oleh yang demikian, kerajaan mestilah memastikan bahawa penjawat awam sentiasa berada dalam keadaan selamat sebelum, semasa atau selepas menjalankan tugas,” katanya menerusi kenyataan.

Untuk rekod, kediaman Razman Pak Dek yang bertugas di Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kastam Kelantan dibaling bom botol pada jam 2.45 pagi ketika beliau tiada di rumah.

Selain itu dua buah kereta yang berada di ruang parkir kediaman tersebut turut terbakar.

Razman sudah membuat laporan polis bagi mengenal pasti punca serangan berkenaan. – MalaysiaGazette