Anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba, Datuk Mohd Tamrin Abdul Ghafar berjalan keluar selepas memberi keterangan kepada polis bagi membantu siastaan berhubung kenyataan menerusi blognya bertajuk “TMJ Bodoh Sombong yang Tak Boleh Diajar” di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Datuk Tamrin Abdul Ghafar meluangkan masa selama lebih dua jam untuk memberi keterangan di Ibu Pjabat Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan mengenai artikel bertajuk ‘TMJ Bodoh Sombong Yang Tak Boleh Diajar’ yang ditulisnya pada laman blogspot beliau

Katanya, seorang pegawai daripada Siasatan Unit terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang Jabatan Siastan Jenayah Bukit Aman, iaitu Asisten Superintendan Nasir telah merakam keterangannya berkaitan 34 perkara yang ditulis dalam artikel itu.

“Daripada 11.30 pagi tadi hampir 3 jam dirakam keterangan, mereka sangat mesra. Seorang pegawai bernama ASP Nasir mengambil keterangan saya berlandaskan semua 34 perkara yang saya tulis dalam tajuk ‘TMJ Bodoh Sombong Yang Tak Boleh Diajar”.

“Dia soal semua satu persatu apa maksud saya dan apa tujuannya penulisan saya itu, saya jawab satu persatu itu yang makan masa sikit tu,” katanya sambil menambah beliau akan menjelaskan segala yang berlaku pada blogspotnya.

Tulisan yang dimuatnaik pada blogspot Tamrin pada 2 Februari lalu mengandungi 36 perkara berkaitan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Dalam tulisannya itu, Tamrin mengkritik TMJ berkaitan hantaran pemangku Sultan Johor mengenai wabak koronovirus apabila Tunku Ismail mengingatkan semula apa yang baginda pernah lontarkan dua tahun lalu.

Beliau dirakam keterangan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurut anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba itu, setakat ini beliau tidak perlu kembali ke Bukit Aman dan kehadirannya di Ibu Pejabat PDRM itu disebabkan laporan polis yang dibuat seorang individi di Majidi, Johor.

Peguam Tamrin, Mohd Azharul Ab Talib menjelaskan seorang individu telah membuat laporan polis berdasarkan laporan di laman Facebook yang menyiarkan artikel Tamrin yang disalin daripada blogspotnya sebelum dimuat naik dalam laman media sosial itu.

Tamrin memberitahu, beliau tidak ada memiliki akaun Facebook dan Instagram atau Facebook dan apa yang ditulis itu hanya dimuatnaik dalam blogspot Tamrintunghafar.

Sementara itu, Tamrin berkata, beliau lebih suka jika perkara tersebut dibawa ke mahkamah yang akan membolehkannya mempertahankan diri. – MalaysiaGazette