KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas mendedahkan seorang ibu membawa anaknya merayu untuk menziarahi kubur pelawak Abam Bocey malam tadi kerana mengenang jasa arwah membiayai persekolahan anaknya.

Menurut Ustaz Mohamed Hanafiah Abd Malel, ketika itu penjaga kubur berkenaan sedang bersiap sedia menutup pagar tanah perkuburan itu.

Ini kerana, katanya, ketika itu waktu hampir menunjukkan pukul 10.30 malam.

Katanya, penjaga kubur itu menasihati wanita berkenaan yang datang dengan motosikal untuk datang keesokan harinya sahaja namun wanita itu enggan berbuat demikian.

Malah, menurut Mohamed Hanafiah, wanita itu tetap merayu untuk masuk ke tanah perkuburan berkenaan.

“Rupa-rupanya wanita itu memberitahu bahawa Allahyarham Abam adalah insan yang menaggung dan membiayai segala perbelanjaan persekolah anak-anaknya selama ini,” katanya di laman Instagramnya.

Mohamed Hanafiah turut menyertakan temubualnya dengan penggali kubur tersebut dalam akaun media sosialnya itu.

Abam Bocey selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Pusu, Gombak di sini kira-kira jam 7.40 petang semalam.

Terdahulu jenazah Alahyarham telah dibawa dari kediamannya di Gombak ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat dan kemudian dibawa ke Masjid Gombak Utara untuk urusan mandi dan kafan sebelum disolatkan di situ.

Dianggarkan lebih 5,000 orang datang ke masjid bagi mendirikan solat jenayah Allahyarham.

Abam meninggal dunia di kediamannya di Gombak, Selangor kira-kira jam 8.30 pagi tadi dipercayai akibat demam panas.

Difahamkan, kejadian itu disedari isterinya, Nor Hidayah Mohd Ali apabila Allahyarham tidak bangun ketika dia mengejutnya untuk solat Subuh.

Abam meninggalkan seorang balu dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey bin Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey. – MalaysiaGazette