Lim Guan Eng

PUTRAJAYA- Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bakal melancarkan pakej rangsangan ekonomi pada penghujung bulan ini atau selewat-lewatnya pada minggu pertama Mac.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini.

“Kami sedang mengumpulkan input daripada semua pihak.

“Kami telah mula mengadakan pertemuan sejak semalam dan akan mengadakan mesyuarat lanjutan tidak lama lagi.

“Seperti yang saya tekankan sebelum ini, kami perlu memastikan pakej rangsangan ini benar-benar telah bersedia sebelum ia boleh dilancarkan,” katanya semasa sidang media selepas majlis perluasan Skim Perlindungan Kesihatan Masyarakat MySalam di sini.

Seperti sebelumnya, Guan Eng enggan mendedahkan jumlah pakej rangsangan tersebut mahu pun kumpulan sasar yang bakal menerima manfaat daripada suntikan ekonomi tersebut.

Katanya, pakej rangsangan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus kekal berkembang di sebalik cabaran-cabaran semasa termasuklah penularan wabak koronavirus.

Bagaimanapun, kebanyakan penganalisis meramalkan antara industri yang bakal diberi fokus utama dalam pakej rangsangan tersebut adalah pelancongan, pengilangan, kesihatan dan pendidikan.

Ini merupakan pakej rangsangan ekonomi ketiga yang pernah dilancarkan Malaysia.

Pada 2003, kerajaan melaksanakan pakej ekonomi bernilai RM8.1 bilion untuk membantu mengurangkan kesan berikutan wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS) manakala pada 2009 pakej rangsangan RM60 bilion diumumkan bagi mengharungi kelembapan ekonomi global.- MalaysiaGazette