KOTA BHARU – Ketua jurulatih pasukan Kelantan United (KUFC) Zahasmi Ismail mahu pemainnya melupakan gelaran juara Liga M3 yang diraih musim lalu, bagi menghadapi saingan lebih mencabar dalam aksi Liga Premier musim ini.

Beliau berkata sudah tentu pemain akan menghadapi perlawanan yang lebih mencabar dalam aksi Liga Premier berbanding sebelum ini ketika dalam saingan di Liga M3.

“Pemain perlu melupakan sejarah kejayaan itu supaya tidak berada dalam keadaan selesa dan perlu meningkatkan mutu permainan masing-masing kerana di Liga Premier, pemain akan bertemu dengan pasukan berkualiti.

“Dalam bola sepak, kita tidak boleh terlalu melihat kepada sejarah kemenangan yang lalu kerana ia merupakan perangkap untuk melalaikan pasukan, dan jika lalai kemungkinan besar pasukan akan kecewa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Pada saingan Liga M3 musim lalu, KUFC, sebuah pasukan baharu dari Kelantan, layak beraksi dalam saingan Liga Premier dan bersaing dengan rakan senegeri, The Red Warriors (TRW).

Dalam pada itu, Zahasmi berkata sasaran pihak pengurusan untuk melihat pasukan KUFC layak ke Liga Super musim 2021, bukanlah satu tekanan besar buat dirinya.- BERNAMA