Jenazah Allahyarham Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan di sembahyangkan di Masjid Gombak Utara, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pengacara dan pelawak terkenal, Jihan Muse meluahkan rasa hati sebagai penghormatan terakhir buat rakan, Abam Bocey yang telah pergi mengadap Illahi dua hari lalu.

Menerusi Instagram miliknya, ibu kepada seorang cahaya mata itu redha atas berita dukacita yang diterimanya.

“Nak menulis tak tertulis. Nak berkata tak terluah. Mulakan saja tanpa tahu mana patut berhenti. Terkejut tapi tidak mengejutkan. Terduduk tapi tidak meraung.

”Mungkinkah kerana sudah terbiasa. Melatih diri untuk faham tentang redha. Melatih diri untuk mengingatkan masa sendiri. Belum surut rasa yang satu ditambah lagi pilu yang satu begitulah seterusnya nanti hingga tiba waktu sendiri.

”Waktu yang sudah tiada rasa. Mungkin ada rasa tapi tiada siapa yang tahu rasa yang apa. Berulang lagi sakit dada perit menanti pecah ibaratnya. Allahuakbar.

Jenazah Allahyarham Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan di sembahyangkan di Masjid Gombak Utara, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 FEBRUARI 2020

”Seorang lagi nakhoda pergi meninggalkan anak-anak kapalnya berlayar ke pelabuhan jauh. Ke negeri yang abadi. Seorang lagi pemimpin. Lelaki.

“Kita baik ramai sayang. Moga ada ruang di dalam ‘kita’. Allahummafirlahu warhamhu waafihi waafuanhu,” tulisnya puitis.

Pagi Isnin lalu, Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32, yang juga anggota kumpulan Bocey meninggal dunia di kediamannya di Gombak selepas demam panas selama dua hari.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nor Hidayah dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia lapan bulan. – MalaysiaGazette