KUALA LUMPUR – MCA kecewa dengan keputusan Kerajaan Negeri Kedah untuk meneruskan projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang penuh dengan kontroversi dan dibantah pelbagai pihak.

Malah, parti itu turut hampa apabila Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang sebelum ini lantang membantah pembinaan lapangan terbang KXP menukarkan pendirian beliau dan sekarang menyokong projek tersebut.

MCA berkata, sepatutnya Kerajaan Pusat dan negeri menumpukan usaha untuk menaik taraf pengangkutan rel antara wilayah utara dengan Kuala Lumpur atau negeri-negeri.

“Lagipun, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir mengakui bahawa kebanyakan industri di wilayah utara masih mengangkut kargo ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui pengangkutan jalan.

“Malah, Kerajaan Negeri Kedah telah menekankan KXP akan berfungsi sebagai sebuah hab kargo sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang kekal sebagai hab penumpang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Oleh itu, pembinaan sebuah lapangan terbang hanya untuk penerbangan tempatan jarak pendek akan meninggalkan kesan yang teruk terhadap alam sekitar, di samping memakan kos yang besar.

Tambahan pula, penggunaan tren kargo adalah jauh lebih murah dan efektif kerana dapat mengangkut lebih banyak kargo, dan meninggalkan kesan karbon yang lebih rendah berbanding pengangkutan udara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast