KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) kesal ekoran insiden kekasaran ke atas anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang tular di media sosial.

“Insiden seperti ini tidak akan berlaku jika orang awam atau masyarakat umum faham akan tugas penjawat awam serta mengerti bahawa individu tersebut telah melakukan kesalahan dan akan menerima hukuman setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukan mengikut undang-undang.

“Dalam mempertahankan diri dari serangan tersebut, anggota berkenaan terpaksa melindungi diri daripada risiko kecederaan yang bakal ditanggung sewaktu kejadian,” kata Presiden Cuepacs, Adnan Mat dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan Mat
Presiden Cuepacs, Adnan Mat.

Dalam pada itu, beliau menasihati anggota kerajaan dan wakil rakyat supaya melihat insiden berkenaan dalam aspek lebih adil dan bukan lebih menghukum penjawat awam atau penguat kuasa.

“Tambahan lagi, mereka tidak boleh melihat isu ini di atas kepentingan satu pihak sahaja.

“Oleh itu, Cuepacs memandang serius dan melihat kaedah menghukum di media sosial adalah tidak adil sama sekali kepada penjawat awam.

“Hukuman yang tegas haruslah diambil oleh pihak kerajaan ke atas individu berkenaan kerana menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugasnya berlunaskan undang-undang yang ditetapkan,” tegasnya.

Komen tegas Adnan itu menyusul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze menyatakan kekecewaan terhadap tindakan kasar penguat kuasa MPSJ berkenaan ke atas individu awam dalam rakaman yang tular itu.

Pemimpin DAP itu sebagai mempertahankan tindakan lelaki itu mendakwa walaupun individu itu memukul penguat kuasa berkenaan dengan payung adalah tidak wajar namun mengkritik tindakan penguat kuasa MPSJ yang mempertahankan diri itu sebagai tidak wajar kerana membalasnya dengan kekerasan melampau.

Malah ADUN berkenaan juga mendesak pegawai penguat kuasa itu meminta maaf daripada individu itu.

ADUN berkenaan juga mendesak MPSJ mengambil langkah memastikan semua pegawainya diberi latihan secukup menangani situasi tegang di masa akan datang supaya tidak berulang lagi. – MalaysiaGazette