Pengerusi Lajnah Dakwah AJK Pas Pusat, Nasrudin Tantawi bercakap pada Wacana Budaya Politik Matang dan Sejahtera di Bangi Convention Centre (BCC), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 FEBRUARI 2020.

BANGI – Langkah Pas untuk menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sudah lama diambil oleh kepimpinan Pas Pusat.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasruddin Hassan berkata, keputusan itu dibuat sejak Dr Mahathir memegang tampuk pemerintahan Putrajaya, dua tahun lalu.

“Sudah lama (diputuskan untuk sokong Perdana Menteri) seawal Tun Dr Mahathir pegang jawatan Perdana Menteri lagi dan kita pun dengar ada ura-ura pihak tertentu cuba hentikan beliau dipertengahkan jalan dan kita ambil pendirian tersebut,” katanya selepas hadir Wacana Budaya Politik Matang dan Sejahtera, di sini sebentar tadi.

Bekas Ahli Parlimen Temerloh itu ditanya mengenai kenyataan terbaharu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkata usaha untuk menyokong Dr Mahathir adalah bagi menyelamatkan Malaysia dan bukannya untuk membodek sesiapa.

Hadi berkata, usaha itu selari dengan proses demokrasi dan ia turut diamalkan di negara lain, seperti Lubnan beberapa hari lalu.

Untuk rekod, Pas pernah dipelawa untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), bagaimanapun ia tidak direalisasikan.

Dalam pada itu, Nasruddin berkata, usul undi percaya kepada Dr Mahathir melambangkan bahawa parti itu mahu pentadbiran Perdana Menteri tidak terganggu dalam mentadbir sehingga habis penggal PRU14.

“Kita minta supaya Tun Dr Mahathir boleh jalankan tugas dengan baik tanpa gangguan. Sudah tentunya kestabilan politik adalah bergantung kepada kekuatan Islam di Malaysia ataupun kesejahteraan dan keselamatan umat Malaysia, jadi kalau terganggu peranan Perdana Menteri itu dia akan ganggu kestabilan politik,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mendakwa langkah itu semata-mata mahu menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, Nasruddin berkata, sesiapa pun boleh membuat justifikasi masing-masing.

Malah katanya, Pas mempunyai kuasa untuk menyokong sesiapa sahaja yang dipilih sebagai Perdana Menteri.

“Itu justifikasi orang sahaja, terpulang kepada mereka. Kita punya sikap jelas,” katanya.

Sabtu lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata partinya akan membawa ‘usul undi percaya’ dalam Dewan Rakyat bagi menyokong agar Dr. Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri sehingga habis penggal.

Keputusan itu diambil setelah terdapat beberapa pihak yang “menggembar-gemburkan rasa tidak puas hati” terhadap kepimpinan Perdana Menteri, namun sehingga kini, tiada usul undi tidak percaya yang dibuat oleh mana-mana pihak. -MalaysiaGazette