Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Nordin Salleh.

GEORGE TOWN – Nilai keseluruhan aset Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kini mencecah RM143 bilion, kata Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Nordin Salleh.

Beliau berkata jumlah aset itu adalah daripada lapan aktiviti yang giat dijalankan di seluruh negara antaranya perkhidmatan kewangan dan perbankan iaitu Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Co-opbank Persatuan Malaysia Berhad.

Katanya aktiviti lain ialah projek perumahan, fungsi pengguna, pengangkutan, perladangan, perindustrian dan perkhidmatan.

“Orang ramai tidak faham dan melihat aset kita terlalu besar, malah digelar ‘sleeping giant’. Kami besar tetapi kami tidak ‘tidur’ (We are giant but we are not sleeping).

“Aset-aset kita bergerak dan kebanyakannya dalam bentuk kredit, pinjaman dan lain-lain daripada dua buah bank tersebut,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Bicara Eksekutif Bersama Pemilik Koperasi Pulau Pinang, di sini malam tadi.

Turut hadir Pengarah SKM Pulau Pinang Zakaria Mat Jusoh.

Beliau berkata pihaknya kini menumpukan kepada pemerkasaan dan penambahan ahli dari kalangan belia, wanita dan keluarga B40 untuk mencapai kesamarataan sosioekonomi negara.

“Kita mahu meletakkan belia di barisan hadapan kerana saya yakin koperasi mampu menjadi benteng ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Zakaria berkata pihaknya sedang berusaha untuk mencapai sasaran peningkatan jumlah ahli koperasi sebanyak 30 peratus di negeri ini.

“Secara keseluruhannya, penduduk Pulau Pinang berjumlah 1.8 juta orang dan kini terdapat seramai 131,000 ahli koperasi.

“Kita menyasarkan peningkatan sebanyak 30 peratus bersamaan kira-kira 500,000 ahli untuk meningkatkan modal saham bagi menjalankan aktiviti yang selaras dengan bidang keberhasilan ekonomi yang disasarkan,” katanya.- BERNAMA