SENIOR Asisten Komisioner Polis Normah Ishak dilantik secara rasmi sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8), Cawangan Khas, Bukit Aman menggantikan Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob seperti yang kita semua tahu baru-baru ini telah dinaikkan pangkat dan menjadi Ketua Polis Johor yang baharu.

Dengan perlantikan Normah, ia secara langsung menjadikannya wanita pertama yang dilantik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengetuai bahagian yang cukup penting dalam Cawangan Khas itu.

Normah menyertai PDRM pada Disember 1991 dan merupakan timbalan Ayob sejak 2016.

Memetik kata-kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Hamid Bador kepada South China Morning Post (SCMP), Normah seorang pegawai polis yang “berani, cerdik, sangat berkelayakan dan seorang pegawai yang berpengalaman, berintegriti dan pemimpin yang cemerlang”.

“Antara tugas awal yang menunggunya ialah cabaran mengendalikan penghantaran balik 65 militan IS dan keluarga mereka ke Malaysia dari Syria. Sesetengah mereka merupakan militant tegar,” lapor portal berita itu lagi.

Sesungguhnya di bahu Normah kini terletak satu tanggungjawab yang cukup berat, apatah lagi semua mata akan tertumpu padanya memandangkan Ayob telah meletakkan penanda aras yang cukup tinggi bila membawa satu demi satu kejayaan untuk E8.

Untuk rekod, E8 hanyalah salah satu bahagian dalam organisasi PDRM. Namun segala permasalahan termasuklah isu ‘titik bengik’ dalam menangani keganasan dan kegiatan militan adalah berada di atas bahu dan tanggungjawab mereka.

E8 telah bekerja di belakang tabir sejak 1990an memerangi keganasan di tanah air. Dari kumpulan dan sel pengganas dari Al-Qaeda, Jemaah Islamiyah (JI) kepada Kumpulan Mujahideen Malaysia serta terkini, Daulah Islam (Daesh) telah dilumpuhkan hasil usaha berterusan E8.

Mereka tak ramai, tetapi mereka ada dan menjadi mata serta telinga PDRM dalam usaha membanteras masalah ini di negara kita.

Semua organisasi militan berada dalam pengawasan mereka.

Seperti mana pegawai dan anggota lain dalam PDRM, mereka bekerja tanpa penat dan lelah untuk memastikan tanah air yang tercinta ini bebas dari ancaman sebegini.

Sebagai contoh, sejak tahun 2009, mereka telah berjaya menahan 284 suspek yang terbabit dengan JI, 512 orang suspek Daish dan ramai lagi.

Dan dalam sedar tak sedar, E8 telah mematahkan 25 rancangan serangan pengganas di negara ini sejak 2013, antaranya serangan berskala besar ke atas tempat ibadat Kristian, Hindu dan Buddha serta pusat hiburan di sekitar Lembah Klang.

Sebelum itu, antara kejayaan yang ramai masyarakat tak tahu ialah ialah kejayaan E8 merampas bom yang terdiri dari satu kotak litar, remote control, dan telefon bimbit yang dipasang oleh militan JI Dr Azahari Hussein di Felda Lengkap di Perak pada 17 Jun 2003.

Malah dalam salah satu temubual dengan The Sun, Ayob pernah mendedahkan, pada 5 April 2007, mereka menemui sebuah bom di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sejurus penahanan dua anggota JI.

Suspek juga bertanggungjawab membuat enam bom paip dan meletakkannya di dalam tong sampah di lokasi pusat-pusat hiburan sepanjang Jalan Telawi 3 di Bangsar (KL) pada 1999.

Bom-bom berkenaan sepatutnya meletup tetapi kita agak bertuah keranan komponen bom mereka tidak berfungsi. Kita nyaris-nyaris terkena tragedi “Bangsar Bombing!”

Dalam kes LTTE, pada tahun 2009, mereka menahan 25 militan LTTE.

Salah satu kes berprofil tinggi ialah penangkapan ketua berjawatan tinggi LTTE iaitu Kumaran Pathmanatahan pada 5 Ogos 2009. Mereka menahan suspek di sebuah hotel di KL dan memindahkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya bagi mengelakkan tindakan balas anggota LTTE yang masih berada di Malaysia.

Ketika interogasi, Kumaran mengaku selepas Sri Lanka, dia lari ke Thailand dan Singapura sebelum memasuki Malaysia menggunakan passport India yang palsu!

Untuk rekod, bukan orang Islam dan orang India saja ditangkap, orang Sikh dari pertubuhan pengganas Babbar Khalsa International (BKI) dan orang Uighur dari Gerakan Islam Turkestan Timur(East Turkestan Islamic Movement – ETIM) yang disyaki pengganas juga diberkas sekiranya mereka didapati membawa perjuangan mereka di dalam negara kita.

Semoga Normah yang juga dianggap pakar Bioterrorism ini istiqamah dan menjadikan jawatan serta pangkat yang disandangnya ini bukan sebagai beban tetapi sebaliknya sebagai tanggungjawab yang perlu beliau lunaskan demi agama, bangsa dan tanah air yang tercinta.

Kami di Malaysia Gazette mengucapkan selamat berjaya dan ‘salute’ di atas pencapaian luar biasa pegawai polis wanita ini!