Rabih Ataya (tengah). Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Pemain skuad kebangsaan Lubnan, Rabih Ataya sah menjadi pemain terakhir yang menyertai pasukan baharu Liga Super 2020, UiTM FC.

Dia merupakan rakan sepasukan kepada pertahanan baharu Pahang, Khalil Khamis dari kelab Al-Ahed..

Rabih telah beraksi hampir 40 perlawanan bersama Lubnan dan kali terakhir adalah dalam aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia menentang Korea Utara pada November lalu.

Dia juga pernah tampil dalam kejohanan Piala Asia 2019 yang lalu dan telah diturunkan dalam dua daripada tiga perlawanan ketika dalam Kumpulan E.

Bagaimana pun, Lubnan gagal melepasi peringkat kumpulan selepas menang sekali ke atas Korea Utara dan tewas kepada Qatar serta Arab Saudi namun Rabih merekodkan satu bantuan gol.

Rabih juga pasti diingati sebagai pemain yang telah memusnah harapan Harimau Malaya untuk meraih satu mata dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 selepas meledak dua gol untuk membenam Malaysia 2-1 di Stadium Larkin pada tahun 2017.

Boleh beraksi di kanan, kiri dan penyerang, pengalaman pemain berusia 30 tahun ini bakal ditagih untuk membantu UiTM FC dalam mengharungi musim pertama di Liga Super.

Selain Rabih Ataya, Frank Bernhardt juga telah membawa masuk dua pemain dari Perancis iaitu untuk posisi tengah dan pertahanan tengah iaitu Ousmane Fane dan Victor Nirennold.

Ousmane Fane berpengalaman bermain di League 1 di England bersama Oldham Athletic dan Shrewsbury Town. Sementara Victor Nirennold pula merupakan produk Stade Rennaisand,

Untuk menguatkan jentera serangan mereka, pengendali Jerman itu telah menyenaraikan Gustavo Almeida yang berusia 23 tahun.

Pemain kelahiran Sao Paulo, Brazil itu pernah bermain bersama kelab Nam Dinh di V.League 1 bermula pada pertengahan tahun lalu, namun hanya tampil dalam 13 perlawanan sahaja.

UiTM FC dilihat agak sederhana memancing pemain tempatan dengan lebih selesa  mengekalkan pemain-pemain musim lalu selain dalam pelajar-pelajar dari universiti tersebut. – MalaysiaGazette