Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof perlu tampil secara bermaruah untuk memperjelaskan isu berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak wajar Menteri Hal Ehwal Agama itu selamanya bergantung kepada blogger mahupun tentera siber upahan untuk menjawab bagi pihak TH mahupun dirinya.

Beliau berkata, Dr. Mujahid harus bertanggungjawab penuh ke atas TH sebagaimana diperuntukan dalam Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995.

“Wahai kekandaku YB. Dr. Mujahid Yusof Rawa, sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas TH sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 10 Akta Tabung Haji 1995, tampillah secara bermaruah untuk memperjelaskan isu berkaitan TH.

“Rakyat terutamanya 9.4 juta pendeposit TH berhak mengetahui kedudukan sebenar TH dan isu berkaitan pemberhentian operasi hotel-hotel Tabung Haji dan banyak lagi isu termasuk jualan lambak aset dan hartanah TH,” katanya menerusi hantaran akaun Facebooknya, hari ini.

Semalam, blogger dedahfakta.com menyiarkan jawapan kenapa operasi beberapa hotel di bawah TH dihentikan menerusi surat bertarikh 17 Februari 2020.

Blogger berkenaan memuatnaik beberapa alasan, antaranya  hotel tersebut termasuk dalam senarai aset di bawah SPV yang dilantik kerajaan sejak hujung tahun 2018 bagi memulihkan prestasi kewangan TH yang teruk dilanda skandal dan penyelewengan.

SPV Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) dengan usaha berterusan menyusun dan memindah milik 29 hartanah tidak berdaya saing (mengalami kerugian demi kerugian), satu syarikat dan 106 sekuriti ekuiti domestik.

Dr. Mujahid juga dilaporkan menjawab soalan bertulis Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan memaklumkan semua aset dipindahkan bernilai lebih RM19.9 bilion dan nilai perpindahan itu lebih tinggi berbanding nilai buku semasa berjumlah RM10 bilion.

Menurut Dr. Asyraf, jika benar sekalipun alasan blogger upahan itu bahawa penjualan aset dan hartanah TH secara lambak berpunca daripada ‘skandal dan penyelewengan’, jangan takut untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebagaimana janji 100 hari manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Lagipun, sehingga hari ini selepas hampir dua tahun pemerintahan PH, tidak ada seorang pun individu yang didakwa berkaitan TH,” katanya.

Justeru, beliau sekali lagi menjemput Dr. Mujahid untuk berdialog secara ilmiah berkaitan isu skandal TH sebagaimana didakwanya.

“Janganlah pula hantar Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk mencabar saya berdebat.

“Ini perkara serius melibatkan hal ehwal Tabung Haji, bukan berkaitan hal ehwal pengurusan ikan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kita mengalu-ngalukan pertemuan sehat antara mujahid dan asyraf mengenai isu-isu yang berkaitan dengan TH. Rakyat pun akan jadi lebih paham akan isu-isu ini dan apakah kerajaan telah lakukan. Semoga isu ini tidak terus dipolitikkan oleh parti pembangkang khususnya UMNO.

Comments are closed.