KUALA LUMPUR – Sejumlah 20 penduduk sekitar Jalan Abdullah di Bukit Bandaraya melahirkan kebimbangan mereka mengenai beberapa projek pembangunan yang dijalankan berhampiran kediamann mereka.
Terbaharu menurut Naib Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur (SKL), Datuk M. Ali adalah cadangan untuk membina 32 tingkat pangsapuri di lot 44 hingga 46 yang dihantar pada November tahun lalu.
Tegas M. Ali, projek itu dikhuatiri akan memberi kesan yang besar kepada rumah-rumah penduduk sekitar Jalan Abdullah.
“Rumah bersebelahan berumur lebih dari 70 tahun dan tidak mempunyai rasuk bumbung konkrit yang tidak akan mampu menahan kerja cerucuk berat semasa proses pembinaan.
“Secara kebetulan, penduduk mengetahui tentang pembinaan yang dicadangkan ini.
“Apabila ditanya, pihak berkuasa memberitahu bahawa projek ini di bawah zon baharu, juga tiada pemberitahuan mengenai cadangan projek itu kepada penduduk sekitar,” katanya dalam sidang media di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, hari ini.
Sebelum ini, projek membina 15 tingkat yang mengandungi 24 unit kuaters pegawai kerajaan telah siap dibina tahun lalu.
Malah kumpulan itu turut mendakwa kesesakan lalulintas di Jalan Abdullah akan turut berlaku disebabkan jalan sempit bagi menampung kepadatan kawasan perumahan berkenaan.
“Kalau nak bina 15 sampai 18 bangunan yang berketinggian 30 tingkat sampai ke 80 atau 80 lebih tingkat, macam mana kita akan uruskan laluan trafik, impak sosial, macam mana kalau populasi naik.
“Macam mana kita nak bangkitkan isu itu dan kemudahan-kemudahan infrastruktur seperti perbentungan, kemudahan air, elektik dan telefon,” katanya lagi.
Untuk rekod, projek 32 tingkat apartment itu akan dibina di lorong Lengkok Abdullah di sebelah kompleks Institut Kesihatan Umum Malaysia (IUKM), yang berhampiran dengan Bukit Persekutuan. -MalaysiaGazette