Tertuduh, Sahrum Ayumi Yusoff, 53, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tanah Rata di Cameron Highlands, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib. 

KUANTAN – Seorang guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6,918 yang didakwa berkaitan kelulusan tender kantin, kira-kira dua tahun lepas.

Tertuduh, Sahrum Ayumi Yusoff, 53, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Tanah Rata di Cameron Highlands, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Sahrum Ayumi yang beralamat di Mersing, Johor didakwa menerima suapan itu yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasminya daripada Zainal Muhammad menerusi akaun bank miliknya di Maybank Islamic Berhad cawangan Kuala Rompin, Rompin antara 16 Ogos dengan 17 Dis 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Siti Sarah Zainal Abiddin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, Sahrum Ayumi yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan atas alasan faktor kewangan selain turut memohon diberikan masa untuk melantik peguam.

“Saya mempunyai banyak komitmen kewangan. Isteri tidak bekerja dan saya juga menanggung anak yang masih belajar. Saya minta mahkamah memberikan masa yang panjang sebelum tarikh sebutan semula kes ini,” katanya.

Hakim Mohd Ghazali membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan dan menetapkan 6 April ini untuk tarikh sebutan semula kes.

— BERNAMA