Mohamed Haniff Khatri

KUALA LUMPUR – Tommy Thomas sebagai Peguam Negara berkewajiban untuk menyemak semula keputusan beliau menggugurkan kesemua pertuduhan keganasan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) terhadap kesemua 12 tertuduh.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla ketika membuat saranan itu berkata, setiap pertuduhan terhadap kesemua individu berkenaan perlu terus dibicarakan dan ditentukan melalui sistem pembuktian di mahkamah.

“Sekiranya tidak, saya percaya Tommy Thomas dalam kapasiti sebagai Peguam Negara boleh dikatakan telah secara salah mencampuri kuasa menteri.

“Konsep kedaulatan undang-undang atau pun Rule of Law adalah wajib kekal dipatuhi, apatah lagi oleh Peguam Negara,” katanya di laman Facebook.

Haniff juga merujuk kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan undang-undang.

Dalam kenyataan itu juga Menteri Dalam Negeri itu mengesahkan bahawa daripada siasatan dan maklumat pakar keselamatan negaraLTTE masih dijadualkan sebagai “entiti terrorisme” di bawah Seksyen 66B AMLATFAPUA.

Justeru, kata Muhyiddin, Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.

Artikel berkaitan: LTTE: Peguam Negara tiada kuasa – Muhyiddin

Semalam Tommy dalam kenyataan 11 muka surat mengumumkan keputusannya untuk menggugurkan prosiding terhadap 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang berdepan pertuduhan berkaitan LTTE.

Keputusan tersebut dibuat menggunakan budi bicara Peguam Negara sejajar dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Artikel berkaitan: Peguam Negara tamatkan prosiding jenayah terhadap 12 individu sokong LTTE

–MalaysiaGazette