Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Keputusan sebulat suara Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memberi mandat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menentukan sendiri tarikh peralihan kuasa menyebabkan Pas dan UMNO terus kempunan untuk merosakkan keutuhan kerajaan campuran ini.

Ini kerana, dua parti pembangkang itu ingin sangat untuk lihat parti-parti dalam PH bergaduh dan bercakaran sehingga berpecah.

Kemudian Pas dan UMNO datang menangguk di air keruh dengan idea pembentukan kerajaan pintu belakang yang bernama Pakatan Nasional, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

“Mimpi di siang hari Pas dan UMNO tak kesampaian dan mereka kini terpaksa menggigit jari. Undi percaya atau undi tak percaya yang kononnya hendak dibawa oleh Pas di Parlimen pada bulan Mac ini dan disokong oleh UMNO sudah tidak relevan lagi.

“Isu itu sudah anti-klimaks sekarang. Di sinilah kebijaksanaan yang tersembunyi di sebalik keputusan para pemimpin tertinggi PH lewat malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Hassan turut memuji sikap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tenang dan sabar dalam membantu merumuskan keputusan sebulat suara yang memberi mandat kepada Dr Mahathir menentukan sendiri tarikh untuk berundur.

Katanya, sikap Anwar yang tidak menekan, tidak mendesak Dr Mahathir dan menunjukkan tingkat kesabaran yang tinggi mencerminkan pekerti seorang pemimpin politik yang berhemah tinggi.

“Pujian dan penghargaan perlu diberi kepada Anwar kerana atas kesabarannya PH terus kukuh dan kerajaan campuran PH dapat diselamatkan.

“Cuba bayangkan jika dalam mesyuarat malam tadi Anwar membawa sikap dan pendirian yang keras dan enggan bertolak ansur. Malam tadi juga PH boleh pecah dan pagi ini kerajaan campuran PH terkubur,” tambahnya.

Bagaimanapun, sebagai anggota Parlimen PKR yang setia kepada presiden, Hassan tidak menafikan beliau agak terkilan dengan keputusan itu.

“Saya tiada masalah sangat Dr Mahathir melepaskan jawatan PM selepas Sidang APEC. Tetapi jauh di hati saya masih mengharap satu tarikh yang pasti selepas APEC itu bila? Apa tarikhnya? Bulan apa? Berapa hari bulan? Tetapi persoalan ini tidak dijawab.

“Kekaburan berterusan. Sebab itulah di dalam hal undang-undang, bila kita buat perjanjian soal tarikh mesti ditulis dengan terang, nyata dan tepat. Masa adalah intipati (time is the essence) dalam apa juga perjanjian, termasuklah perjanjian politik.

“Rakyat kini melihat memandang Dr Mahathir. Adakah selepas APEC Mahathir akan berundur? Tahun 2023 pun selepas APEC. Tetapi rakyat Malaysia bukannya bodoh. Saya percaya Dr Mahathir menghargai sikap pimpinan dalam PH terutama sikap Anwar yang sanggup menunggu, sanggup bersabar.

“Saya percaya Dr Mahathir akan berundur, betul-betul berundur selepas APEC November 2020. Mungkin 30 November 2020 atau paling lewat 31 Disember 2020. Mahathir tidak akan berdalih lagi kali ini. Kalau Mahathir berdalih dalih lagi, bukan Anwar yang rugi tetapi Mahathir sendiri yang akan rugi. Saya percaya dan terus berharap Dr Mahathir tidak mungkir janji,” katanya.

Kata Hassan, sebagai seorang Ahli Parlimen PKR yang patuh janji dan patuh arahan parti yang setia berpegang dengan janji PH untuk menyokong Dr Mahathir jadi Perdana Menteri jika PH menang PRU-14 pada 9 Mei 2018, beliau berhak menuntut janji dari Dr Mahathir.

Ini kerana, katanya, sebaik sahaja diisytihar menang beliau telah menandatangani satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Sebagai seorang ahli parlimen PH dari PKR saya telah menunaikan janji saya dan janji parti saya, PKR. Sekarang saya percaya saya berhak menuntut janji dari Dr Mahathir untuk menyerahkan jawatan kepada Anwar Ibrahim selepas persidangan APEC sebelum berakhir tahun 2020 ini,” katanya. – MalaysiaGazette

8 Komen

  1. Bagaimanapun, beberapa portal melaporkan mesyuarat itu berlangsung dalam suasana tegang, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedia mempertimbang keluar daripada PH jika Dr Mahathir terus didesak melepaskan jawatan.

    Mengulas laporan itu, Anwar menyifatkan ketegangan dalam mesyuarat terbabit sebagai perkara biasa dan sebahagian daripada proses demokrasi dan kebebasan bersuara dalam kalangan parti komponen PH.

    “Yang penting, tiada orang pertikai adanya peralihan kuasa, tiada orang pertikai keputusan Tun Mahathir Perdana Menteri ketujuh, Anwar Perdana Menteri kelapan.

    Ada UGUT MENGUGUT ropenye? Kesian Non terus gigit jari!

  2. PAS DAN UMNO DAH PUN BERJAYA. TUN M TAK JADI LETAK JAWATAN MEI INI. KESIHAN DAP, PKR AMANAH YG SUNGGUH2 NAK TUN M SERAH KUASA PD ANUAR. MUAFAKAT NASIONAL MENANG SATU KOSONG

    • Pasal apa PAS dengan UMNO sebok sangat nak tentukan PM dalam Kerajaan PH. Masa PKR DAP termasuk PAS sendiri berada di dalam PR tak pula sebok menafikan bahawa Najib tak boleh jadi PM. Terserah lah kepada kemaufakatan dalam Kerajaan UMNO/BN untuk menentukan siapa yang layak jadi PM. Tiba tiba dalam kerajaan PH PAS dengan UMNO pula nak tentukan siapa PM selepas Tun M. Buat kerja bodoh. Orang punya rumah mereka pula sebok nak tentukan TV apa kena beli. Kerusi meja kena letak kat mana. Kalau meroyan nak jadi PM pun tunggu lah di PRU15 nanti tak perlu lah nak gangu gugat rumah tangga PH. Jaga rumah tangga sendiri dah lah bagi kelihatan cantik dan elok mata rakyat memandang nya.

  3. Saya percaya Nuar cuba menekan Tun. Nuar juga cakap ada sedikit ketegangan yang dikatakan biasa dalam demokrasi..
    Nuar sendiri cakap keputusan mesyuarat Peralihan tak sampai setengah jam ..
    Ini hampir tiga jam..
    Apa cerita

  4. PAS, UMNO gigit jari ATAU Non & Kroni2 gigit jari?

    Bende2 simple macam ni pun tak boleh difikirkah oleh MP Pasir Berdengung ni?

    Patut la menteri2 hancing hanya layak jadi KHADAM DAP?

    Kah..kah..kah..

  5. Awat hang ni yg gigit jari spai kaki ia lah yg siang mlam menyalak supaya tun tetap kan tarikh peralihan kuasa hingga ada yg nak turun jalan beguling2.hang buka mata mata dan guna telinga dengar apa kata geng dsai.pas dan umno tak desak pun tun serah pm pd dsai.mimpi kut hang ni.klu nak mimpi pun biar mlm hari siang2 hari ni jgan tidur.

  6. Hassan…hassan..kau yg gigit sebab peluang nak kumpul harta blum terlaksana lagi..ya lah klau pak anwar jadi PM boleh ko kumpul harta..sbb tu u kata rasa terkilan sebab tak tahu bila lagi pak anwar nak jadi PM.

Comments are closed.