Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Himpunan 6 Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Pusat Konvensyen Bangi, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 22 FEBRUARI 2020.

BANGI – Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan semula hukuman terhadap pesalah IS sebagaimana perkara sama diberikan terhadap tahanan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Presiden PKR itu menyatakan bersetuju sekiranya kaji selidik dibuat terhadap perkara tersebut, malah beliau juga pernah menyuarakan mengenainya kepada Menteri Dalam Negeri.

“Isu ini banyak dibahaskan jadi Peguam Negara perlu mengambil kira semua faktor.

“Saya ingat serah kepada Peguam Negara kalau ada yang pertikai boleh dibawa untuk pertimbangan beliau,” katanya pada sidang media selepas Program Himpunan Enam Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di sini hari ini.

Tambah Anwar, ada dalam kalangan tahanan ISIS tidak dapat dipastikan kaitannya sebagai pengganas atau sama ada mereka benar-benar terlibat dengan keganasan.

Bagaimanapun, Anwar menyatakan ia tidak bermaksud beliau berkompromi dengan keganasan yang berlaku.

“Jadi saya rasa perkara ini harus keras terhadap keganasan itu, kita kena bezakan,” ujarnya.

Dengan mengambil contoh pengalamannya ketika menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh, Anwar berkata, terdapat pesalah yang menerima hukuaman hanya kerana memiliki baju atau memberikan sokongan dan derma kepada jiran yang terlibat dengan keganasan.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menghentikan prosiding terhadap 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang berdepan pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Keputusan tersebut dibuat menggunakan budi bicara Peguam Negara sejajar dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette