Tedros Adhanom Ghebreyesus. foto AP

VIENNA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semakin bimbang dengan jumlah kes koronavirus yang tiada kaitan dengan wabak meskipun jumlah jangkitan di luar China masih lagi kecil.

Ini kerana, ada kes-kes yang mana pesakit tiada kaitan dengan sejarah pengembaraan ke China atau pernah berhubung dengan individu yang dijangkiti, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom.

China merekodkan 75,569 kes kepada WHO termasuk 2,239 kematian.

Menurut data, sejumlah 80% kes pesakit koronavirus adalah sederhana manakala 20% pesakit kritikal.

Manakala dua peratus lagi kes kematian.

Tedros berkata, risiko kematian ke atas pesakit warga emas meningkat, selain terdapat beberapa kes membabitkan kanak-kanak.

Di luar China, terdapat 1,200 kes di 26 buah negara dengan lapan kematian – termasuk satu kes di Mesir.

Beliau menyambut baik penurunan kes koronavirus di China tetapi masih terlalu awal untuk membuat ramalan tentang penularannya.

Pasukan kesihatan WHO yang terdiri daripada pakar-pakar telah tiba di China minggu lalu akan berlepas ke Wuhan, pada hari Sabtu.

“Paling kami bimbang potensi penularan Covid-19 di negara-negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah,” kata Tedros.

Berikutan itu, WHO mahu mendapatkan sokongan dana sebanyak AS$675 juta untuk membantu 13 negara terutama di Afrika kerana mereka ada kaitan dengan China.

Setakat ini WHO telah menghantar lebih 30,000 set peralatan perlindungan peribadi kepada beberapa negara Afrika dan 60,000 lagi ke 19 buah negara pada minggu akan datang. – MalaysiaGazette