Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Bukan salah UMNO apabila Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang hari ini, tegas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pembangkang itu berkata, apa yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada masalah dalaman dalam kalangan parti komponen PH sendiri.

Naib Presiden UMNO itu menjelaskan, ini kerana dalam PKR telah wujud unsur berpuak selain masalah DAP.

“DAP tidak pernah tidak salahkan UMNO sejak dahulu lagi. Kalau esok banjir besar atau gempa bumi tetap UMNO yang salah.

“Padahal apa yang berlaku hari ini bukan salah UMNO tetapi berpunca daripada masalah dalaman PH,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perjumpaan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan DAP pada sidang media hari ini yang menyalahkan UMNO atas kemelut politik yang berlaku ketika ini sehingga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.

Ismail menambah UMNO dan BN langsung tidak tahu menahu keputusan Dr. Mahathir meletakkan jawatan pada hari ini.

Namun katanya, adalah menjadi hak Dr. Mahathir sebagai Perdana meletak jawatan.

“Kita pun tidak tahu Dr Mahathir letak jawatan. Minggu lepas beliau janji lepas mesyuarat APEC.

“Tiba-tiba umum hari ini. Tapi itu hak beliau hendak letak jawatan,” katanya.

Pada masa sama, Ismail turut pelik apabila bekas Menteri Kabinet PH masih menggunakan platform mewakili kerajaan untuk bercakap kepada media sedangkan PH bukan lagi Kerajaan. – MalaysiaGazette