Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan bercakap kepada media pada Mesyuarat Perjumpaan Barisan Tertinggi Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan yakin satu pakatan baharu akan membentuk Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat ini.

Beliau berkata, keyakinan itu dinyatakan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mesyuarat bersama parti komponen itu hari ini.

“Ketika ini kami yakin bentuk kerajaan baharu dan dalam masa terdekat akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menunjukkan BN ada kekuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas perkembangan terkini yang berlaku terhadap politik negara.

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah turut memberitahu, BN kini mempunyai majoriti yang cukup untuk membentuk kerajaan gabungan yang baharu.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan lebih lanjut dan menyerahkan kepada Ahmad Zahid untuk membuat sebarang pengumuman.

“BN sentiasa mempunyai nombor (kerusi) yang cukup. Berilah Pengerusi BN umumkan,” katanya.

Ditanya apakah pendirian MIC berhubung usaha pembentukan kerajaan baharu itu, beliau berkata, MIC akan kekal bersama BN.

Menjawab isu Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dilaporkan menarik diri daripada menyertai gabungan perikatan baharu itu, Saravanan berkata, perkara itu tidak dibincangkan.

“Setakat ini tiada pengumuman rasmi daripada GPS,” katanya. – MalaysiaGazette