najmil faiz mohamed aris
Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Kemelut politik yang berlaku pada hari ini sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang majoriti untuk memerintah adalah berpunca daripada DAP.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, parti itu merupakan faktor utama yang menyebabkan kerajaan PH hilang keupayaan mentadbir negara sehingga mengakibatkan ketidaktentuan politik negara.

Jelas beliau, sikap DAP yang rasis, anti nasional dan cauvanis menjadi beban utama kepada kerajaan PH sepanjang memerintah negara.

“Disebabkan DAP, negara tidak bergerak ke hadapan kerana sering dibelenggu isu perkauman, agama dan sebagainya sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Malaysia.

“Sikap DAP yang membabi buta seperti mendesak penyokong LTTE dibebaskan serta mendesak SOSMA dimansuhkan membawa padah apabila rakan komponen mereka iaitu BERSATU mengishtiharkan keluar daripada PH,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Najmil yang Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu berkata, realitinya, UMNO adalah penyelamat kepada krisis politik negara apabila Ahli Parlimen parti itu memainkan peranan penting untuk mengembalikan kedaulatan negara.

“Saya yakin pemimpin UMNO akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negara kerana kita tidak pernah mengenepikan matlamat asas parti kita dan meneruskan agenda membela rakyat.

“Saya ingin rakyat Malaysia faham bahawa krisis politik yang berlaku hari ini adalah berpunca daripada DAP bukannya UMNO seperti yang dituduh Lim Guan Eng,” katanya. – MalaysiaGazette