Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.-pix FB

KUALA LUMPUR – Semalam geng ahli parlimen Barisan Nasional (BN) mendakwa sedang menunggu ‘lampu hijau’ – hari ini geng Azmin pula mengatakan pihaknya juga menunggu isyarat yang sama untuk pergi ke Istana Negara.

Kumpulan penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini berkata, mereka kini bersiap-siap untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bila-bila masa sahaja bagi membentuk kerajaan baharu.

Salah seorang daripada mereka, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.

“Kami tunggu arahan,” kata Willie ringkas ketika ditemui hari ini.

PKR semalam memecat Mohamed Azmin dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta kerana didakwa melakukan pengkhianatan secara terbuka.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin bertindak mengeluarkan kenyataan bahawa dia dan 10 lagi Ahli Parlimen PKR yang menyokongnya keluar daripada PKR dan Pakatan Harapan (PH).

Selain Zuraida dan Willie, beliau turut menamakan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian,  Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Selain itu, Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar; Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju dan Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kami tunggu ‘lampu hijau’ sahaja mahu pergi Istana Negara – Bung Moktar