Datuk Seri Najib Razak

KUALA LUMPUR – Pengarah Urusan Putra Perdana Construction Sdn Bhd (PPSB), Datuk Rosman Abdullah mendakwa beliau mengenali arwah Datuk Azlin Alias yang merupakan bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Razak.

Malah katanya, selepas arwah meninggal dunia, beliau berterusan menjaga kebajikan anak-anak Azlin terutamanya pendidikan mereka.

Dakwa Rosman, melalui pengamatannya, beliau yakin arwah Azlin dan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low mengenali antara sama lain.

Rosman yang merupakan saksi kelapan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang melibatkan dakwaan penyelengan RM42 juta oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata demikian ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram di hadapan Hakim Moh Nazlan Mohd Ghazali.

Sithambaram bertanyakan tentang perbualan Black Berry Messenger (BBM) antara saksi dan Jho Low berhubung aliran wang RM27 juta ke dalam akaun peribadi Ambank milik Najib.

Sithambaram: Adakah benar Jho Low beritahu anda untuk maklumkan kepadanya tentang pindahan wang itu supaya maklumat itu boleh disalurkan kepada ‘bos’?

Rosman: Betul, itulah yang Jho Low cakap.

Sithambaram: Saya hendak tanya kamu, ketika Jho Low kata ‘bos’ adakah pada pandagan kamu ianya merujuk kepada Najib?

Rosman: Ya, benar. Begitulah.

Sithambaram: Daripada perbualan sebelum-sebelum ini, adakah Jho Low memanggil Najib sebagai ‘bos’?

Rosman: Betul.

Sithambaram: Adakah kamu juga tahu melalui Azlin bahawa Jho Low berhubung secara terus dengan Najib?

Rosman: Betul.

Semalam Rosman mendedahkan kepada mahkamah, pada awalnya beliau menganggap Jho Low seorang ahli perniagaan yang sungguh jujur, kompeten dan profesional.

Bagaimanapun, pandangan itu ‘berubah’ sejurus selepas beliau ditahan dan direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 Julai 2015.

“Selepas saya ditahan dan direman dan kini selepas saya sudah mendapat gambaran sebenar apa yang berlaku kepada pindahan RM170 juta itu, saya boleh gambarkan beliau sebagai seorang penipu, cekap dan sangat licik.

“Jho Low menipu saya, saya tidak tahu bahawa SRC adalah syarikat berkaitan kerajaan dan akaun Ambank adalah milik Najib.

“Saya kemudian dibebaskan dan diberi surat pelepasan daripada SPRM dan Pejabat Peguam Negara,” dakwanya.

Perbicaraan sedang bersambung ketika ini. – MalaysiaGazette