KUALA LUMPUR – Datuk Mohamad Alamin yang memenangi kerusi Parlimen Kimanis pada bulan lalu mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof. Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) itu, Mohamad memenangi kerusi berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,029 undi.

Beliau menewaskan pencabarnya Datuk Karim Bujang, 67, daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) yang meraih 10,677 undi. Dalam pada itu, Mohamad yang ditemui media berkata, beliau bersyukur kerana telah diberi kesempatan untuk mengangkat sumpah lebih awal daripada tarikh sepatutnya pada 10 Mac ini.

Jelas beliau, ia akan memudahkan tugas sebagai wakil rakyat untuk berkhidmat dengan lebih efektif selepas ini. “Insya-Allah selepas ini memudahkan saya untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Ditanya majlis yang diadakan ketika BN meminta Parlimen dibubarkan, Mohamad berkata beliau hanya menghormati kuasa Dewan Rakyat. “Kuasa bubar pihak lain dan angkat sumpah adalah kuasa Parlimen.

Saya hanya ikut arahan dari Parlimen dan menyerahkan kebijaksanaan Yang Di-Pertuan Agong. “Sebagai warnanegara Malaysia, kita perlu taat setia dan menjunjung keluluran Perlembagaan,” katanya.

Sementara itu, PRK Parlimen Kimanis diadakan selepas Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu yang membatalkan kemenangan bekas Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). – MalaysiaGazette