KUALA LUMPUR – Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan terdapat ahli-ahli Parlimen bukan Pakatan Harapan yang menyatakan sokongan kepada beliau secara individu dan bukannya melalui parti.
Ini menyebabkan calon Perdana Menteri kelapan itu yakin beliau mempunyai sokongan majoriti yang mencukupi.
“Kesemua ahli-ahli Parlimen melakukan ikrar mereka kepada saya secara individu.
“Saya tahu terdapat beberapa ahli Parlimen dari “sebelah sana” yang tidak gembira apabila pemimpin parti mencuri suara mereka.
“Pakatan Harapan mempunyai sokongan yang mencukupi.
“Mari kita sama-sama lihat proses demokrasi ini. Insya-Allah,” katanya dalam satu ciapan di Twitter hari ini.
Hari ini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan sokongan terhadap Presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.
Susulan itu, Muafakat Nasional yang terdiri daripada UMNO dan Pas turut menyatakan sokongan yang sama.
Malah parti-parti komponen Barisan Nasional seperti MCA dan MIC turut menzahirkan sokongan terhadap Muhyiddin.
Ini menyebabkan secara kolektif, Anwar ketinggalan sedikit di belakang Muhyiddin bagaimanapun parti-parti dari Sabah dan Sarawak masih belum mengumumkan sokongan masing-masing.-MalaysiaGazette