JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor yang baharu, Datuk Ir Hasni Mohammad memberi jaminan akan membentuk barisan Exco kerajaan negeri yang baharu dalam tempoh seminggu ini.
Hasni berkata, komposisi barisan Exco yang baharu itu akan dibentuk dengan menekankan keutamaan kerajaan negeri dan rakyatnya bagi memastikan Johor kembali mengaum.
“Untuk barisan Exco, saya ada dalam seminggu untuk sediakan nama sebelum mohon mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar secepat mungkin dan ia akan dibincangka bersama.
“Kita akan bahagi dengan adil, kita akan bincang dan akan putuskan. Pelantikan Exco akan menggambarkan komposisi kaum di negeri ini,” katanya pada sidang media di Mutiara Hotel di sini hari ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu berkata, beliau akan terus menghormati demokrasi dalam negara, ini kerana, krisis berpanjangan akan menyumbang kepada ekonomi yang tidak sihat.
Tambahnya, beliau tahu cabaran yang bakal dihadapi sekali gus bersedia berdepan dengan perkara itu kerana yakin dengan kerjasama bersama dengan parti Bersatu dan Pas.
Datuk Ir Hasni Mohamad dalam sidang media selepas dilantik sebagai Menteri Besar di Hotel Mutiara Johor Bahru.Sementara itu, Hasni menegaskan, kerajaan negeri yang baharu bukan kerajaan pintu belakang kerana penubuhannya adalah disebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, penubuhan kerajaan negeri baharu ini tertakluk dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor dan pelantikan Menteri Besar adalah di bawah budi bicara Sultan Johor.
“Pelantikan ini merupakan satu keperluan dibuat mengikut proses yang menyantuni lunas undang-undang.
“Sekarang adalah masa untuk memberi sepenuh perhatian dan tenaga untuk memulihkan keadaan negeri dan memastikan Johor menjadi hebat kembali,” katanya. – MalaysiaGazette.