Mohd Afzanizam Abdul Rashid

KUALA LUMPUR – Semakan menurun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada 3.2 peratus hingga 4.2 peratus untuk tahun ini adalah munasabah.

Menurut Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, ekonomi negara sudah dijangkakan terjejas pada separuh pertama tahun ini disebabkan penularan wabak Covid-19.

Fiskal defisit juga dijangka melebar berbanding sasaran asal 3.2 peratus hingga 3.4 peratus pada 2020.

“Secara keseluruhannya, langkah-langkah yang diumumkan kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi 2020 adalah tepat pada masanya  dan mempunyai sasaran yang tepat.

“Pakej ini seharusnya mampu memberikan sokongan yang betul kepada ekonomi sejajar dengan dasar monetari akomodatif yang digunakan Bank Negara.

“Bank Islam menyambut baik pengumuman ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Afzanizam, saiz rangsangan fiskal bernilai RM20 bilion itu adalah melebihi jangkaan yang mana Bank Islam mensasarkan sekitar RM15 bilion sahaja.

“Kami berpendapat langkah-langkah yang diumumkan sangat bertepatan apabila memberi penekanan kepada sektor-sektor terjejas seperti industri berkaitan pelancongan di samping memastikan ekonomi mampu tumbuh dalam jangka masa panjang,” katanya lagi.

Langkah-langkah untuk mengatasi masalah aliran tunai syarikat amat dialu-alukan manakala langkah untuk mengurangkan caruman pekerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak empat peratus, pembayaran tunai on-off kepada pekerja industri berkaitan pelancongan dan mempercepat pembayaran Bantuan Sara Hidup boleh mengekalkan perbelanjaan pengguna yang mana ia menyumbang lebih 50 peratus kepada ekonomi negara.

Semalam, Perdana Menteri Interim Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pakej rangsangan ekonomi 2020 di pejabatnya di Putrajaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast