Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Hotel Eastin Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALi, 28 FEBRUARI 2020

PETALING JAYA – Selepas lebih empat jam bermesyuarat di sebuah hotel di sini, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengunci mulut dan hanya tersenyum kepada para wartawan yang telah menunggu sejak awal.

Anwar enggan menjawab sebarang soalan sebaliknya terus berjalan menuju ke kenderaannya.

Majlis Presiden Pakatan Harapan sekali lagi bermesyuarat untuk membincangkan tentang hala tuju gabungan parti yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAN itu berikutan perkembangan terbaharu di pihak Istana Negara.

PH telah mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-8, berikutan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad dari jawatan itu Isnin lalu.

Keputusan Dr Mahathir itu disusuli pula dengan tindakan Bersatu mengumumkan keluar dari PH.

Tidak terhenti setakat itu, Dr Mahathir kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu, bagaimanapun kembali ke jawatan itu semalam.

Istana Negara memutuskan memanggil ketua-ketua parti yang mempunyai wakil rakyat di Dewan Rakyat untuk mencalonkan perdana menteri kelapan.

PH yang telah menamakan Anwar kelmarin kini turut bersaing dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dicalonkan oleh Bersatu, Barisan Nasional dan Pas.

PH juga dalam kenyataannya sebentar tadi menegaskan pihaknya yakin Anwar telah mendapatkan pencalonan terbesar dalam kalangan ahli-ahli Parlimen dan wajar diberi peluang untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.