JOHOR BAHRU – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya Datuk Ir Hasni Mohammad mampu menggalas tugas dan tanggungjawab serta amanah yang diberikan dengan baik sekali gus menjadikan negeri itu gah seperti sebelum ini.
Hasni, Menteri Besar Johor yang baharu itu, katanya seorang wakil rakyat yang berpengalaman dan cekap untuk menggalas jawatan dan amanah yang diberikan.
“Johor adalah sebuah negeri yang berada pada satu tahap untuk menjadi negeri yang kukuh kedudukan ekonominya dan terus meningkat tahap kemajuan bagi membantu memberi kesejahteraan kepada rakyatnya.
“Negeri ini tidak boleh menjadi negeri biasa-biasa, Johor ada potensi dan peluang dan soalnya bagaimana kita mahu membongkar peluang tersebut. Saya yakin Datuk Hasni mampu melakukan perkara itu,” katanya ketika ditemui di sini.
Justeru, beliau akan memberi sokongan dan kerjasama supaya beliau berjaya mentadbir serta mengurus Johor ke arah kecemerlangan dan pencapaian yang baik khususnya untuk ekonomi demi kesejahteraan rakyat negeri ini.
Selain itu, katanya, negara juga sedang berdepan dengan keadaan cabaran ekonomi negara dan luar negara di samping terjejas ekoran terkesan dengan virus yang sedang melanda dunia pada hari ini.
“Jadi atas sebab itu, kita memerlukan kepimpinan yang kuat dan kukuh, berpandamgan jauh dan berpengalaman yang mampu untuk membawa n Johor berdepan cabaran ini dan yang mampu melonjakkkan lagi kemampuan negeri ini.
“Saya percaya Datuk Hasni sesuai untuk memikul dan dilantik tepat pada masanya. Saya ucapkan selamat maju jaya kepadanya,” katanya.
Pada masa sama, Mohamed Khaled berharap semua rakyat Johor memberi sokongan kepada beliau kerana sudah terlalu banyak masa terbuang, negeri ini perlu diurus supaya negeri ini dapat menangani cabaran yang sangat rumit itu supaya rakyat tidak terjejas dan dapat dapat dijaga dan dipelihara. – MalaysiaGazette.