Baru Bian

KUALA LUMPUR – Pengalaman bekerja dengan Tun Dr Mahathir Mohamad mendorong Baru Bian untuk terus menyokong bekas Perdana Menteri itu.

Bekas Menteri Kerja Raya itu berkata, selepas 21 bulan bekerja bersama Dr Mahathir beliau berjaya melaksanakan banyak tugas untuk Sarawak.

Menurutnya, Visi Kemakmuran Bersama telah dibentuk di bawah kepimpinan Dr Mahathir, malah beliau mendapat sokongan Dr Mahathir untuk memulakan beberapa projek utama di Sarawak selepas 50 tahun.

“Ini termasuk Jalan Pautan Sabah Sarawak, Lebuhraya TransBorneo, sekolah usang, pembaikan hospital dan sebagainya,” kata Baru sambil menambah Sarawak turut mendapat peruntukan terbesar daripada Belanjawan 2020 di bawah Dr Mahathir.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas gambar Baru menandatangani sokongan kepada Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi dikongsikan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil malam tadi.

Baru didakwa menjadi Ahli Parlimen ke-114 yang memberi sokongan tersebut.

Ahli Parlimen Selangau dari PKR itu telah dipecat dari partinya bersama 10 ahli yang lain termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin pada 26 Februari lalu kerana dianggap mengkhianat kepada parti.

Mereka didakwa menyokong Dr Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri hingga tamat penggal.

Baru menjelaskan sokongan kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri selepas Ahli Parlimen Langkawi itu memaklumkan beliau bersedia untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.

Malah, sebelum itu dia dan rakan-rakannya telah berikrar untuk menyokong Dr Mahathir untuk terus melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri sehingga akhir penggal.

“Malangnya, ia menyebabkan saya dan rakan-rakan dipecat dari parti pada 26 Februari lalu.

“Meskipun begitu ia tidak menghalang kami daripada terus menyokong Tun sehingga 28 Februari lalu ketika bermesyuarat di kediaman Tun.

“Ketika kami difahamkan beliau tidak berminat untuk menjalankan tugas Perdana Menteri, kita perlu menyatakan pendirian untuk menyokong penggantinya yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk menjadi calon Perdana Menteri.

“Berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Tun bahawa beliau bersedia untuk menjadi calon Perdana Menteri, saya sekali lagi menyatakan sokongan untuknya,” kata Baru. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.