Para peserta perhimpunan tanpa permit yang berlangsung di hadaan pusat beli-belah dan Dataran Merdeka.

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil penganjur perhimpunan haram yang diadakan di hadapan sebuah pusat membeli-belah di ibu negara hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah berkata penganjur telah melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak memberikan notis pemakluman kepada pihak polis.

“Polis telah kenal pasti penganjur dan akan panggil mereka untuk beri keterangan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dataran Merdeka hari ini.

Perhimpunan selama dua jam bermula 6 petang itu dihadiri kira-kira 40 individu yang membantah pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Peserta perhimpunan kemudian dilihat berarak dari sebuah pusat membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka.

Tinjauan Bernama mendapati kehadiran peserta perhimpunan mengganggu orang awam yang beriadah di Dataran Merdeka serta menimbulkan kemarahan pemuzik jalanan yang membuat persembahan.

Mengulas perkara itu, Mohd Fahmi berkata kehadiran peserta perhimpunan dilihat sedikit sebanyak mengganggu ketenteraman awam.

“Pendapatan penghibur jalanan juga terjejas kerana jarak persembahan penghibur jalanan dan peserta perhimpunan dekat, timbul konflik antara mereka.

“Penganjur akan disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana gagal menyerahkan notis untuk berkumpul,” katanya.

— BERNAMA