KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah melalui laman sosial Facebook terhadap seorang wartawan penyiaran TV3 pada Januari lepas.

Majistret Nordiana Abd Aziz memerintahkan Wan Mohd Marzuki Wan Zaidi, 24, dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.

Wan Mohd Marzuki didakwa mengugut untuk mencederakan Mohd Ishak Abdillah Ngah, 38, dalam laman sosial Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original) antara pukul 10 pagi hingga 3.01 petang pada 1 Januari lepas mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan itu ekoran satu video liputan berita yang dibuat oleh mangsa mengenai isu ketiadaan elektrik dan air di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu yang dimuat naik dalam laman Facebook Buletin TV3.

Video liputan berita itu telah menjadi tular dan dikongsi di laman Facebook Gabungan Anak Terengganu (Original).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama