JAKARTA- Para saintis meminta kerajaan Indonesia supaya lebih telus dalam memerangi penularan wabak Covid-19.
Sekumpulan saintis berpendapat, sangat penting untuk kerajaan melibatkan lebih banyak orang dalam usaha memerangi wabak tersebut termasuk memanggil lebih ramai saintis bebas.
Pihak berkuasa kesihatan juga perlu memastikan mereka bekerja secara efektif dan saintifik.
Penyiasat prinsipal di Institut Stem Sel dan Kanser, Jakarta, Ahmad Utomo berkata, cara pihak berkuasa melakukan pemeriksaan adalah tidak telus dan tidak membantu orang awam memahami keadaan sebenar.
Kerajaan katanya, perlu “menulis setiap butiran mengenai sampel, langkah pencegahan dan kawalan pengangkutan dan kualiti.
“Jika mereka mahu menulis satu kertas saintifik berhubung isu ini, mereka perlu mendedahkan jenama (kit saringan) yang digunakan untuk memeriksa pengunjung dari tanah besar China,” katanya kepada Jakarta Post.
Tambahnya, perkara tersebut turut dilakukan oleh Pusat Kawalan Penyakit China semasa mengenal pasti penularan wabak novel koronavirus itu.
“Kertas kajian tersebut mestilah sama seperti yang diterbitkan China iaitu mengandungi butiran wabak dan dilengkapi dengan data genetik molekular virus berkenaan.
Kementerian Kesihatan Indonesia telah memuat naik perkembangan terkini Covid-19 di laman web infeksiemerging.kemkes.go.id. semalam.
Namun begitu, kandungan hantaran tersebut hanya memberi penerangan terhadap situasi global wabak Covid-19 manakala situasi dalam negara hanya ditulis sebanyak satu perenggan sahaja.
Pautan kepada hantaran-hantaran sebelumnya juga telah tiada.
Indonesia merekodkan dua kes positif Covid-19 baru-baru ini.- MalaysiaGazette