Datuk Seri Jamal Md Yunos

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menarik balik permohonannya supaya kes saman fitnah yang difailkan dua bekas menteri terhadapnya berhubung dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) dibicarakan bersama.

Bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin dan bekas Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Sim memfailkan saman itu secara berasingan pada 2017 selepas mendakwa Jamal mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka berhubung penyalahgunaan dana Yawas.

Peguam Mohammed Nasser Yusof yang mewakili Jamal memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rozana Ali Yusoff bahawa anak guamnya mengarahkan permohonan itu ditarik balik atas alasan perkembangan terbaru dalam pentadbiran negara menyebabkan saksi-saksi defendan (Jamal) ditukar daripada saksi sepina kepada saksi berpenyata atau sukarela.

Peguam Tan Han Sam yang mewakili Yeo, tidak membantah permohonan berkenaan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan Jamal dan menetapkan 21 April ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh perbicaraan kes saman Yeo terhadap Jamal.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk keputusan permohonan Jamal supaya kedua-dua kes saman fitnah yang difailkan dua bekas menteri itu terhadapnya dibicarakan bersama atau sebaliknya.

Kes saman difailkan Yeo didengar di hadapan Hakim Rozana manakala kes saman difailkan Kok didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Quay Chew Soon.

Peguam Mohammed Nasser yang ditemui Bernama selepas prosiding berakhir memberitahu tujuan anak guamnya sebelum ini memohon dua kes itu dibicarakan bersama bagi menjimatkan kos dan masa mahkamah dan berikutan saksi sepina ditukar menjadi saksi berpenyata, isu kos sudah tidak timbul lagi.

Yeo dan Kok selaku plaintif memfailkan saman itu, masing-masing pada 14 Jun dan 6 April 2017 dengan menamakan Jamal selaku defendan tunggal.

Dalam kedua-dua saman itu, Yeo dan Kok mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap mereka berkaitan dana Yawas dan kenyataan berkenaan disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk di laman sosial Facebook milik Jamal.

Kedua-dua plaintif mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa mereka telah menyalahgunakan dana tersebut untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika serta tidak boleh dipercayai.

Yeo dan Kok, masing-masing menuntut ganti rugi am RM5 juta dan RM1 juta, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau mana-mana ejennya daripada menerbitkan semula kenyataan fitnah berkenaan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.