Penerima Anugrah Ikon Wanita Tahunan iaitu Wartawan Malaysia Gazette, Kasthuri Jeevendran pada Sambutan Hari Wanita Sedunia anjuran MIC Wanita Kebangsaan di Menara Manickavasagam, Jalan Rahmat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 MAC 2020

KUALA LUMPUR – Seramai 8 wanita daripada pelbagai lapangan serta latar belakang telah menerima pengiktirafan sempena Hari Wanita Sedunia 2020.

Hari ini disifatkan sebagai platform terbaik bagi meraikan pencapaian golongan wanita khususnya dalam kalangan masyarakat India yang merangkumi pelbagai aspek, termasuk sosial, ekonomi dan politik.

Dengan bertemakan ‘I am Generation Equality- Realizing Women’s Right anjuran Wanita MIC Kebangsaan, pergerakan ini juga telah mengambil peluang meraikan setiap Wanita khasnya dalam parti itu hari ini.

Pengiktirafan ini juga merupakan acara tahunan bagi Wanita MIC Kebangsaan, pada kali ini turut menyampaikan anugerah kepada salah seorang wartawan MalaysiaGazette, Kasthuri Jeevendran.

Kasthuri telah diberikan anugerah ‘Women Icon of The Year’ bagi pencapaian dalam bidang media selama hampir 16 tahun.

Ini juga merupakan anugerah buat julung kali telah diberikan kepada pengamal media, pengiktirafan juga diberikan kepada portal MalaysiaGazette kerana sentiasa tampil memberikan laporan terbaik selama tujuh tahun ini.

Ketika sempat bercakap Ketua Biro Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa, Shiva Ranjini Balakrishnan, jelasnya lebih 200 hadirin terutamanya cawangan dan Exco Wanita MIC dari seluruh negara hadir pada majlis sambutan ini.

Shiva Ranjini berkata, majlis tersebut diadakan bagi mengiktiraf sumbangan wanita dalam pelbagai bidang termasuk yang didominasi oleh golongan lelaki.

“Ramai wanita India muda yang berjaya dalam bidang masing-masing.

“Jadi, saya harap pengiktirafan ini sedikit sebanyak memberi motivasi kepada wanita lain untuk terus berjaya,” katanya selepas sambutan di Dewan Netajhi, Ibu Pejabat MIC di sini hari ini.

Usha Nandhini (tengah) bergambar dengan penerima-penerima anugerah pada Sambutan Hari Wanita Sedunia anjuran MIC Wanita Kebangsaan di Menara Manickavasagam, Jalan Rahmat, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 MAC 2020

Sementara itu, Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Usha Nanthini Jayaram mengambil peluang mengucapkan Selamat Hari Wanita Sedunia untuk setiap kaum Hawa di luar sana.

Jelas beliau ketika berucap perkembangan pada masa ini jelas memperlihatkan golongan wanita kini tidak hanya menjadi suri rumah atau hanya sekadar berada `di dapur’, sebaliknya turut berperanan penting sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Kita sudah ada ramai wanita yang memiliki bakat luar biasa dan malah pencapaian mereka sudah sama taraf dengan golongan lelaki di luar sana.

“MIC Wanita komited memperkasakan semua golongan ini, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat India sebaliknya semua.

“Hari Wanita tidak sepatutnya disambut khusus pada hari ini sahaja tetapi setiap hari kerana golongan istimewa ini menjadi tunjang belakang diraikan,” ujarnya. -MalaysiaGazette