Mohd Radzi Md. Jidin

KUALA LUMPUR – Mengakui bahawa tugas dan tanggungjawab yang diberikan bagi mengepalai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merupakan tanggungjawab besar, menterinya, Dr Radzi Jidin berkata, beliau memohon ruang untuk menerajui kementerian itu.

Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, pelantikan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan satu tanggungjawab yang amat berat.

“Saya menyedari bahawa saudara saudari meletakkan harapan tinggi agar sistem pendidikan negara dapat melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang dalam pelbagai aspek dan mampu bersaing di persada dunia.

“Saya menerima amanah ini dengan penuh keinsafan. Berilah peluang dan ruang kepada saya untuk melakukan yang terbaik demi tanah air tercinta ini. Doakan saya, ya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Umum mengetahui, KPM antara kementerian yang menjadi tumpuan selain timbul isu-isu hangat melibatkan kementerian itu.

Terdahulu, bekas menterinya, Dr Maszlee Malik dihambat beberapa isu hangat antaranya pelaksanaan kasut hitam di sekolah, pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan.

Malah Maszlee turut dinasihatkan meletakkan jawatan sebagai menteri ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad. -MalaysiaGazette