Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Semua siasatan melibatkan menteri pertahanan sebelum kerajaan Pakatan Harapan akan diteruskan seperti biasa di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menteri Pertahanan yang baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan melibat urus niaga ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

“Semua siasatan termasuk swap deal akan diteruskan seperti biasa.

“Cuma saya tidak pasti lagi yang mana siasatan telah selesai, yang mana siasatan tangguh akan diteruskan.

“Yang sudah diserahkan kepada pihak berwajib iaitu SPRM dan lain, itu di bawah tanggungjawab mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada siasatan yang melibatkan kementerian itu akan diteruskan selepas ini.

Februari tahun lalu, kementerian itu mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ (penswastaan untuk memajukan tanah) membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.

Bekas Menteri, Mohamad Sabu, berkata perkara itu terdedah hasil siasatan yang dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari tahun lalu.

Pendedahan itu menyaksikan seorang lagi bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dipanggil memberi keterangan selama tujuh jam kepada SPRM berhubung isu urus niaga ‘land swap’ itu pada Jun tahun lalu.

Mengulas lanjut, Ismail menambah, Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang telah dibentangkan di Parlimen tahun lalu akan disemak semula jika terdapat keperluan untuk penambahbaikan.

Jelas beliau, walaupun KPP telah diluluskan di Dewan Rakyat, ia masih boleh dikaji kerana terdapat cadangan daripada beberapa Ahli Parlimen.

“Dari segi Kertas Putih, kita lihat dan tengok dulu untuk tambah baik. Minggu depan saya akan hadiri taklimat khas mengenainya,” katanya. – MalaysiaGazette