Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri

KUALA LUMPUR – Prestasi kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang lebih baik pada tahun lalu akan memberi galakan kepada pendepositnya untuk terus melabur dan menyimpan wang dalam lembaga itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pengagihan keutungan yang lebih baik juga dilihat telah mengembalikan kepercayaan pendeposit setelah jumlah pengagihan pendapatan yang diterima untuk tahun sebelumnya agak rendah.

“Pengumuman ini sudah pasti menggembirakan semua pendeposit selepas berlaku unjuran positif dalam keuntungan berbanding tahun kewangan yang lepas pada 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kelmarin TH mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat pada kadar 3.05 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 yang  membabitkan agihan berjumlah RM2.1 bilion, iaitu RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM900 juta bagi tahun kewangan 2018.

Agihan keuntungan yang lebih baik ini didorong oleh prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik, berasaskan strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat.

Tambah beliau, keuntungan yang dicatatkan itu menunjukkan keberhasilan usaha pihak pengurusan dalam merangka strategi pelaburan dan langkah pengurusan kos.

Bagaimanapun, menurut Zulkifli, kini cabaran terbesar TH adalah mengukuhkan kedudukan kewangannya setelah berlaku ketidaktentuan pasaran saham berkaitan perang perdagangan di peringkat global

Namun beliau percaya TH dan semua pihak berkaitan telah mengembleng sepenuh tenaga dan berusaha sebaik mungkin dalam meklaksanakan tugasan mereka. – MalaysiaGazette